Semua pihak perlu main peranan bantu kesan asnaf tercicir - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Semua pihak perlu main peranan bantu kesan asnaf tercicir – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kiri) berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Potongan Gaji Tahun 2023 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis, baru-baru ini. -UTUSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengenal pasti golongan asnaf yang memerlukan bantuan di negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peranan yang dimainkan itu dapat membantu dalam bersama-sama menjayakan hasrat kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Titah baginda, semua pihak perlu melaporkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sekiranya terdapat isu keciciran asnaf dalam kariah masing-masing.

“Pada kesempatan ini juga, saya memohon semua pihak di negeri ini untuk terus membantu melaporkan kepada MAIPs jika ada terdapat isu keciciran asnaf dalam kariah masing-masing yang belum disantuni supaya usaha-usaha bagi mengenal pasti keperluan bantuan dapat dilaksanakan dalam kadar segera”, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Potongan Gaji Tahun 2023 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada Majlis berkenaan Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah kepada organisasi-organisasi terbaik dalam Pengurusan Potongan Zakat Gaji melalui MAIPs.

Penerima Anugerah Jabatan Kerajaan Terbaik telah diberikan kepada Jabatan Kesihatan Negeri manakala kategori Badan Berkanun Terbaik pula disandang oleh Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Bagi kategori syarikat swasta dan korporat pula telah diberikan kepada Perlis Plant Negeri Sembilan Cement Industries Sdn Bhd manakala pemenang Kategori Sekolah terbaik diraih oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi dan Sekolah Tengku Budriah (STB).

Pada majlis berkenaan, baginda turut menyerahkan sumbangan 50 buah komputer riba kepada sekolah-sekolah terpilih di bawah Program Sekolah Amanah Jamalullail.

Selain itu, sebanyak 71 buah basikal turut diberikan kepada peserta terbaik dalam Program Rezeki Subuh yang dilaksanakan sepanjang cuti persekolahan baru-baru ini anjuran MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, setiap pihak perlu menghargai penerima dan penyumbang zakat yang telah memberikan sumbangan melalui MAIPs.

“MAIPs sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menunaikan kewajipan berzakat melalui badan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya