Seludup senjata api bersama dadah, PATI

Seludup senjata api bersama dadah, PATI

MUHAMMAD ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Modus operandi aktiviti penyeludupan senjata api di kawasan sempadan adalah dengan membawanya masuk seketul-seketul atau dipecah-pecahkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kadangkala penyeludup membawanya masuk sekali dengan dadah, pendatang tanpa izin (PATI) atau bersama barangan-barangan lain.

Katanya, polis sentiasa memantau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk berkaitan penyeludupan senjata api.

“Lazimnya, penyeludup melakukan aktiviti berkenaan mengikut laluan yang dirasakan mudah dengan senjata api tersebut selalunya dibawa masuk bersama dadah atau barangan-barangan seludup lain,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pistol Glock 19 Austria yang digunakan Hafizul Harawi dalam cubaan membunuh isterinya di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai dibeli daripada lelaki Thailand dengan harga RM5,000.

Siasatan awal polis mendapati, Hafizul, 38, menghubungi lelaki Thailand berkenaan melalui seorang kenalan kira-kira dua atau tiga minggu sebelum kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, senjata api berharga RM5,000 itu kemudian diambil Hafizul yang berjumpa dengan lelaki tersebut dan polis masih dalam proses mengesahkan senjata tersebut diperoleh di Kelantan atau di sebelah Thailand.

Hafizul kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam insiden kira-kira pukul 1.20 pagi Ahad lalu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1.

Sementara itu, Muhammad berkata, aktiviti seludup senjata api tidak semestinya berlaku hanya di laluan-laluan tikus sebaliknya di laluan sempadan yang sah bergantung kepada keadaan keselamatan pada masa itu.

“Di sempadan ini, memang kita sentiasa pantau dan aktiviti seludup senjata api ini antara yang akan diberikan keutamaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×