'Sekarang bukan ikut undang-undang, tapi balas dendam' 

‘Sekarang bukan ikut undang-undang, tapi balas dendam’ 

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ingin menyiasat Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai dendam semata-mata. 

Dakwa Dr. Mahathir, tindakan diambil sekarang bukan bersandarkan kepada undang-undang, namun sebagai pemimpin yang tiada lagi kuasa, beliau harus akur apabila siasatan dijalankan ke atasnya.

“Saya manusia yang tiada kuasa, dan kalau dia nak panggil, saya okey. Kalau dia nak soal, saya jawab, kalau nak saya masuk penjara, saya masuk penjara, saya tidak ada kuasa. 

“Kita bukan ikut undang-undang, kita ikut nak balas dendam, pasal dulu kita bagi orang ini masuk penjara. Sekarang dia nak masukkan saya dalam penjara,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini, hari ini. 

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Dr. Mahathir adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Menurutnya, dua anak Dr. Mahathir juga telah diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usaha tersebut bagaimanapun kali ini diteruskan dengan menekan anaknya bagi membolehkan Mahathir didapati bersalah.

“Kalau saya kata tidak pernah tipu ke apa, dia akan kata saya curi duit berbilion, bawa kes ke mahkamah, suruh dia tunjuk yang kes berbilion ni sampai sekarang tidak ada.

“Dulu dia minta dua minggu lagi, kita bagi. Sekarang sudah setahun. Itu kerana nak suruh anak saya cakap ‘eh bapak aku curi duit, tangkaplah bapak aku. Itulah undang-undang sekarang,” ujarnya lagi. 

Pada 18 Januari lalu, SPRM meminta kedua-dua anak Dr. Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN