KEMAMAN: Seekor lagi penyu agar ditemukan mati terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, di sini hari ini, tidak sampai 24 jam daripada penemuan bangkai seekor penyu jantan di pantai sama, semalam.
Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, penyu betina tersebut ditemukam sukarelawan Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara) yang melakukan rondaan di pantai tersebut kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.
Menurutnya, jarak penemuan penyu tersebut hanya kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan bangkai penyu dewasa semalam.
“Bangkai penyu yang ditemukan hari ini lebih kecil berbanding semalam. Berdasarkan fizikal bangkai penyu yang mulai mereput, penyu ini mungkin telah mati beberapa hari lalu sebelum terdampar di pantai.
“Kita tak tahu apa punca sebenar penyu ini mati, namun terdapat kesan luka di bahagian leher penyu tersebut, mungkin terkena pukat, tetapi tiada pukat ditemukan pada badan penyu tersebut,” katanya.
Zulkefli berkata, difahamkan beberapa bangkai penyu lain turut ditemukan di pantai itu sebelum ini.
“Sekarang ini musim penyu naik bertelur. Kebanyakan penyu mati disebabkan tertelan plastik dan terjerat pukat.
“Kita berharap nelayan tidak menggunakan pukat pari untuk menangkap ikan kerana penyu akan terjerat dan mati sekiranya terperangkap pada pukat pari,” katanya.
Zulkefli berkata, pihaknya akan terus mengambil inisiatif membersihkan kawasan pantai untuk memulihara alam sekitar dan memudahkan penyu naik bertelur.
“Pada tahun ini, kita telah mengadakan 42 program pembersihan pantai di negeri ini dan InsyaAllah selepas raya kita akan kembali membersihkan kawasan pantai,” katanya. – UTUSAN










