Scam: Cari kaedah lain komunikasi dengan pelanggan

Scam: Cari kaedah lain komunikasi dengan pelanggan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan gambar aktiviti penipuan “Calling Centre” ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan perlu mencari kaedah terbaharu untuk berhubung dengan pelanggan ekoran peningkatan kes penipuan telekomunikasi yang membimbangkan ketika ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini kerana kaedah digunakan institusi terbabit turut digunakan sindiket penipuan.

Katanya, antara modus operandi yang kerap dilaporkan dalam kes penipuan dalam talian adalah penggunaan panggilan telefon untuk menghubungi mangsa.

“Situasi ini menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat bahawa apa jua panggilan daripada nombor tidak dikenali adalah scammer.

“Saya sendiri pernah menerima panggilan daripada pihak bank menggunakan nombor tidak dikenali dan meminta pengesahan tanpa beritahu tujuan menghubungi saya.

“Apabila saya bertanya kenapa perlu sahkan dahulu, pemanggil beritahu ia prosedur ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kaedah digunakan ini turut digunakan scammer dan ia berisiko kepada masyarakat. Sebab itu kami (JSJK) menasihatkan masyarakat jangan melayan panggilan daripada nombor tidak dikenali,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, perkara itu sedikit sebanyak mengakibatkan kesukaran kepada institusi perbankan untuk berhubung dengan pelanggan mereka bagi sebarang urusan berkaitan.

Bagi mengatasi isu itu, beliau mencadangkan supaya pihak perbankan yang membuat panggilan kepada pelanggan memaklumkan terlebih dahulu tujuan panggilan sebelum meminta pengesahan.

“Dikhuatiri sekiranya pelanggan didesak dengan soalan pengesahan di peringkat awal panggilan, ia mengakibatkan pelanggan memutuskan panggilan sekali gus merugikan pihak bank serta pelanggan itu sendiri.

“Saya pernah ditanya mengenai apa akan terjadi kepada industri menggunakan khidmat ‘telemarketing’ untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan jika polis terus menasihati masyarakat tidak menjawab panggilan nombor tidak dikenali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN