PETALING JAYA: Pelakon, Ruhainies mengakui sudah berkali-kali cuba menghubungi Bella Astillah untuk menjernihkan keadaan, namun tidak berjaya.
Menerusi satu temu bual bersama sebuah program hiburan, Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, menegaskan dia bukan sengaja berdiam diri namun menunggu masa yang sesuai sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Sudah lama saya berniat untuk tampil tapi menunggu masa yang sesuai kerana keadaan terlalu panas dan tidak mahu kenyataan saya dimanipulasi.
“Masa kejadian itu berlaku, saya masih dalam keadaan yang terkejut. Inilah pertama kali dalam hidup saya, satu titik hitam yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Saya trauma.
“Beberapa hari selepas itu saya ada hubungi Bella, tapi tak dapat, mesej saya hanya satu ‘tick’. Saya faham situasi di mana,Bella mungkin marah.
“Saya tak mahu paksa. Saya juga ada telefon Bella tapi tak berjawab. Mungkin masing-masing sedang emosi,” kata Ruhainies.
Bukan itu sahaja, pelakon Sayang Tak Dikenang itu juga mengakui kesilapannya menjalin hubungan dengan pelakon, Aliff Aziz yang masih berstatus suami orang.
“Apa-apa bukti yang saya ada sekalipun, saya tidak akan kongsikan dimana-mana kerana memikirkan orang ada anak dan keluarga.
“Saya tahu bagaimana rasanya diaibkan, saya tidak akan buat begitu.
“Bukan semua benda yang saya boleh ulas di sini tapi yang salah tetap salah. Cukuplah khilaf saya buat, itu kesilapan yang besar. Kalau saya ‘post’, saya akan buat kesalahan lagi,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, Ruhainies juga mahu memberi ruang kepada Bella untuk menerima permohonan maaf yang dinyatakan secara terbuka selain berhasrat memperbaiki perhubungan mereka.
“Saya dah buat apa yang patut. Saya tahu saya di pihak yang salah.
“Bella ada hak untuk menerima maaf atau tidak. Namun saya masih harap kita boleh disatukan. Saya tak tahu macam mana nak pujuk dia lagi.
“Saya ikhlas nak perbaiki hubungan dengan Bella dan semua pihak yang terlibat. Saya berharap sangat agar tiada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan. Harap semua ini boleh selesai dengan cara yang baik, insyaAllah,” katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Yasmine mendedahkan tangkap layar perbualan romantis yang dipercayai antara Ruhainies dan Aliff Aziz.
Bukan itu sahaja, Sarah turut mendakwa Ruhainies yang sebelum ini rakan baik kepada Bella Astillah membuat perancangan untuk menjatuh pelakon itu.











