BUKIT GANTANG: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bertegas tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan atau ugutan daripada mana-mana pihak yang memintanya mengosongkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kerana beliau menyokong Perdana Menteri.
Menurutnya, namun beliau sedia berbuat demikian jika ia adalah keputusan dari segi perundangan iaitu ditentukan oleh Parlimen.
“Saya sama sekali tidak akan tunduk di atas desakan yang dibuat oleh mana-mana pihak melainkan ia adalah keputusan dari sudut perundangan.
“Saya menjalankan tugas melalui Perlembagaan, hak sebagai seorang Ahli Parlimen.
“Jika parlimen menyatakan bahawa saya hilang hak, maka saya patuh tapi sekarang saya masih ada hak, saya masih dapat elaun Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika melawat rumah seorang penduduk yang rosak akibat ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok di Trong di sini hari ini.
Sementara itu, Syed Abu Hussin membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris seolah-olah mengugut.
Katanya, kenyataan sedemikian mengganggu tugas beliau sebagai Ahli Parlimen daripada memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya.
“Tittle saya masih lagi Ahli Parlimen, kenapa ada pihak yang nak menghalang menghasut rakyat untuk membantah kami sebagai Ahli Parlimen, itu tidak berperlembagaan, saya nak ikut peraturan.
“Saya belum menerima surat tindakan daripada Bersatu sama ada sudah dipecat keahlian.
“Berdasarkan Perlembagaan, saya dan enam lagi rakan lain yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri masih lagi Ahli Parlimen dan ADUN yang sah,” katanya.
Sebelum ini, Razali berkata, keahlian wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Anwar tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing. – UTUSAN










