Sasar rakyat baca 100 naskhah buku setahun

Sasar rakyat baca 100 naskhah buku setahun

PROGRAM Jom Baca Bersama 10 Minit di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia akan bertambah kepada 100 naskhah buku setiap tahun.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara tersebut tidak mustahil untuk dapat dicapai dalam masa terdekat berdasarkan kajian profil membaca rakyat 2022/2023 yang menyaksikan lonjakan kepada 24 naskhah setahun.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding purata hanya dua naskhah buku setiap tahun pada 2005 sebelum naik drastik kepada 15 naskhah pada 2014.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peningkatan ini hasil pelbagai program pemerkasaan dan kempen berterusan antaranya kira-kira 2,326,029 orang meliputi pelbagai latar belakang menyertai sejumlah 73,406 program galakan membaca dilaksanakan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tahun lalu.

“Pihak PNM termasuk perpustakaan awam negeri, desa dan komuniti berjaya menerima secara keseluruhan 851,386 pengunjung sepanjang tahun lepas sahaja,” katanya ketika merasmikan Jom Baca Bersama 10 Minit bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2024 di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di sini.

Tahun ini KPN memilih tema khas Pembacaan Melestarikan Perpaduan bagi menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan selaras usaha Malaysia Negara Pembaca menjelang 2030.

Aaron berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan paling kurang sebuah perpustakaan desa di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Pada ketika ini, PNM hanya mempunyai 506 buah perpustakaan sedemikian di seluruh Malaysia selain telah membuka empat perpustakaan komuniti di lokasi strategik,” katanya.

Di samping itu ujar beliau, KPN akan menghidupkan semula Kempen Bulan Membaca Kebangsaan dengan lebih agresif selepas kali terakhir dilaksanakan ialah pada 2022 lalu.

Aktiviti yang mula diperkenalkan pada 1995 itu katanya, bakal dipenuhi dengan pelbagai program menarik untuk penyertaan setiap lapisan rakyat tanpa mengira usia dan kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini