Sanusi yakin tidak berlaku protes calon PRK Kuala Kubu Baharu - Utusan Malaysia

Sanusi yakin tidak berlaku protes calon PRK Kuala Kubu Baharu

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menerima replika cek Dividen Kumpulan PKNK ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka PKNK di Ukir Mall, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) yakin tidak akan berlaku sebarang protes dalam kalangan parti komponennya walau siapa pun calon yang terpilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, pemilihan calon itu akan dimuktamadkan esok dalam satu mesyuarat khas melalui rundingan dengan semua komponen dalam gabungan PN.

“Esok baru mesyuarat. Saya akan ke Kuala Lumpur. Unsur (protes) saya tidak bimbang (sebab) perkara itu terjadi kerana ikatan mereka sangat longgar, perkahwinan tak berjalan dengan baiklah.

“Macam nak tidur sebantal tetapi tidak bernikah. Menikah pun tak bernikah secara elok, nikah Siam saja. Itu yang jadi macam itu. PN tak ada masalah apa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang pengumuman Gerakan semalam yang mahu meletakkan calon parti itu di kerusi DUN tersebut yang turut ditandingi mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas. Kee Hiong mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 4,119 undi pada PRN Selangor.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, pihaknya akan tetap mengemukakan calon Melayu tidak kira daripada parti mana dalam PN yang diyakini mampu memenangi kubu kuat DAP itu.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang seharusnya tanpa mengemukakan sebarang syarat.

Muhammad Sanusi menegaskan, semua wakil rakyat termasuk daripada parti pembangkang wajar menerima peruntukan sama rata untuk membolehkan mereka berkhidmat di kawasan masing-masing.

“Saya harap tak ada syarat apalah, semua ahli Parlimen yang diberi undi kepercayaan oleh pengundi-pengundi patut dilayan sama rata walaupun siapa pun kamu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, rundingan berkaitan juga perlu dilakukan melangkaui batas parti supaya tidak tertakluk dengan kapasiti politik sempit.

“Jadi ahli-ahli Parlimen boleh berbincang atas sikap itu yang bukan sikap hubungan parti dengan parti,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN