Salur segera peruntukan jika benar tiada syarat - Takiyuddin

Salur segera peruntukan jika benar tiada syarat – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan (tiga dari kanan) tertarik melihat basikal wakil pos antik yang diperagakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyalurkan segera peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang jika benar ia diberikan tanpa sebarang syarat sepertimana dinyatakan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut adalah keperluan demi kepentingan rakyat sebagai pihak yang sebenar sedang menunggu peruntukan tersebut.

“Kalau betul diberikan tanpa syarat apa tunggu lagi? Luluskan dan salurkanlah kerana rakyat menunggu sekarang ini. Sebab peruntukan ini untuk rakyat. 

“Ia bukan untuk ahli Parlimen sebaliknya untuk ahli Parlimen agihkan kepada rakyat tanpa mengira fahaman atau latar belakang politik. Tetapi semuanya bergantung kepada niat kerajaan. Kalau mereka mahu percepatkan maka cepatlah kita terima,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai jumlah peruntukan yang bakal diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang namun menegaskan ia telah dinyatakan dalam Belanjawan 2024 yang diluluskan pada tahun lepas.

“Setiap tahun Parlimen meluluskan bajet dan bajet tahun ini telah diluluskan pada tahun lepas. Dalam bajet itu sendiri sudah ada peruntukan untuk pembangunan dan peruntukan mengurus bagi setiap kawasan Parlimen.

“Peruntukan sudah ada, jadi keluarkanlah dan salurkanlah sama ada melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) atau mana-mana pihak berkaitan,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada syarat supaya menyokong beliau sebagai Perdana Menteri apabila kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan kepada Ah­­li Parlimen pembangkang.

Katanya, sya­­rat menyokong beliau tidak dibincang dalam Mesyuarat Sek­retariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin yang menyaksikan kerajaan bersetuju me­nyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN