PETALING JAYA: Majlis Ulama UMNO (MUU) menegaskan, kafir adalah perkataan yang dinaskan al-Quran dan al-Hadis merujuk kepada satu kategori manusia yang tidak beragama Islam dan mengingkari akidah yang dianuti oleh umat Islam.
Justeru, MUU berpandangan, tiada sebarang sensitiviti beragama dalam menggunakan istilah kafir merujuk kepada bukan Islam kerana ia merupakan istilah dalam agama Islam.
Malah, katanya, ia merupakan perkataan yang sentiasa disebut oleh umat Islam apabila membaca surah-surah yang menjadi wirid harian seperti surah al-Kafirun dan dalam zikir seperti lafaz takbir Hari Raya.
“Namun, dari sudut panggilan apabila berbicara dengan bukan Islam, dari sudut hikmah dakwah, sebahagian ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf alQaradawi dan Sheikh Muhammad Soleh al-Munjid berpandangan tidak wajar memanggil seorang bukan Islam sebagai ‘Wahai kafir’ kerana ia meliarkan mereka daripada Islam dan menambahkan kedegilan untuk menerima Islam,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas MUU meneliti penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkaitan penggunaan perkataan kafir yang menjadi kontroversi ketika ini.
Sebelum ini, tular klip video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan istilah kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.
Penyebaran video itu membuatkan beliau menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat sehingga mengancam keselamatan dirinya dan kemudian membuat laporan polis.
Menteri Pendidikan itu kemudian memohon maaf jika beliau mengguris perasaan pihak tertentu berhubung isu penggunaan istilah kafir menerusi klip video yang tular dalam media sosial.
Mengulas lanjut, MUU menasihati pemimpin kerajaan dan pemuka masyarakat terutamanya agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu-isu sensitif berkaitan Islam.
Menurutnya, ia supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan orang Islam yang boleh mencetuskan perdebatan dan tuduh menuduh sesama umat.
Pada masa sama, MUU menyarankan, masyarakat Islam untuk tidak gopoh mengulas, menyebar serta membuat sangkaan dan tuduhan melibatkan maruah beragama seorang saudara Islam apabila berbangkit apa-apa isu agama daripada ucapan dan tulisan seseorang sebelum mendapatkan penjelasan maksud dan tujuannya.
Kata kenyataan itu, bersangka baik adalah lebih baik dan selamat.
“Ini berdasarkan nasihat Khalifah Umar bin al-Khattab (r.a) sebagai mana dinukilkan oleh Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 12 Surah Al-Hujurat.
“Kata beliau: ‘Janganlah kamu menyangka terhadap satu kalimah yang keluar dari mulut saudaramu melainkan kebaikan sedang kamu masih ada ruang menanggung maksud yang baik’,” jelasnya. –UTUSAN










