Rebut peluang limpahan ekonomi Tanjung Malim - Utusan Malaysia

Rebut peluang limpahan ekonomi Tanjung Malim

SAARANI Mohamad (kiri) meninjau rumah contoh Projek Perumahan Lakeview Residences @ Bidor, Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pemaju perumahan dan penduduk negeri ini khususnya di Tanjung Malim, Muallim dan Batang Padang perlu merebut tiga peluang besar hasil kesan domino limpahan ekonomi di Selatan Perak yang giat berkembang mutakhir ini.

Tiga projek berskala besar itu ialah perancangan strategik pengeluar kereta nasional Proton yang memindahkan operasi pembuatan kereta sepenuhnya menjelang 2030 di Tanjung Malim dekat sini.

Ini disusuli dengan Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) bersama-sama DRB-HICOM Berhad.

Selain itu, perancangan Geely untuk membina sebuah universiti di Proton City juga di Tanjung Malim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dengan nada optimis, tiga perancangan dengan kesan limpahan ekonomi yang bersifat meluas itu bakal memberikan manfaat besar kepada pemaju perumahan lokal dan rakyat tempatan.

“Sebagai contoh, setakat ini, seramai 3,000 orang pekerja Proton sudah berpindah dari Shah Alam ke Tanjung Malim dan angka itu akan bertambah kepada 10,000 pekerja menjelang 2027.

“Jika kita ambil nisbah isi rumah seorang pekerja ialah 5 orang jumlahnya ialah 50,000 orang. Ini merupakan peluang yang besar kepada pemaju perumahan dan rakyat negeri sekitar Tanjung Malim, Muallim serta Batang Padang dengan tawaran rumah mampu milik, tawaran sektor perkhidmatan dan kepelbagaian makanan,” katanya.

Saarani berkata sedemikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Perasmian Projek Perumahan Lakeview Residences @ Bidor di sini hari ini.

Katanya lagi, projek AHTV yang melibatkan pelaburan berjumlah RM32 bilion di Proton City bakal menawarkan peluang pekerjaan yang memerlukan kawasan perumahan dengan harga mampu milik dan penawaran sektor perkhidmatan bagi memenuhi keperluan semasa.

Ujarnya, pembinaan universiti di Proton City kelak juga bakal memanfaatkan rakyat negeri ini sekiranya bijak mengambil peluang itu dari sudut ekonomi.

“Ini selaras dengan hasrat pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 untuk menawarkan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

“Saya berharap peluang besar ini dapat kita raih dengan sebaiknya dan tidak terlepas dengan sebegitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN