Razali dibicara 11 Julai atas pertuduhan hina keputusan mahkamah, fitnah kerajaan

Razali dibicara 11 Julai atas pertuduhan hina keputusan mahkamah, fitnah kerajaan

SD Muhyiddin
RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris atas pertuduhan menyebut perkataan berbaur hasutan iaitu menghina keputusan mahkamah serta memfitnah kerajaan akan didengar oleh Mahkamah Sesyen pada 11 Julai ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dijadual semula selama empat hari pada 11, 12, 15 dan 16 Julai ini.

Beliau menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini kerana tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal terlibat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 yang berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini.

Perbicaraan dijadualkan bermula hari ini selama lima hari sehingga Jumaat.

Perkara itu dimaklumkan melalui sepucuk surat penangguhan bertarikh 3 April lalu yang dihantar oleh peguamnya kepada pihak mahkamah. 

Surat itu turut memaklumkan Razali yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Terengganu perlu menghadiri sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang bakal berlangsung selama sebulan bermula Jumaat ini.

Tertuduh berjawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu.

“Kami memohon penangguhan perbicaraan dan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi membolehkjan tertuduh melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN,” demikian menurut surat berkenaan yang diperoleh pihak media hari ini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh mewakili pihak pendakwaan, Razali diwakili oleh peguam Hasshahari Johari Mawi manakala kehadiran tertuduh dikecualikan.

Pada 24 November 2023, ADUN Kijal berusia 58 tahun itu didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan antara lain bahawa kerajaan mengawal institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut pertuduhan, beliau yang juga Exco Terengganu turut mempersoal keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut pertuduhan, petikan ucapan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu dikongsikan dalam aplikasi Tiktok oleh @wancin11.

ADUN berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di antara 9.30 dan 11.30 malam pada 10 November 2023 di Padang Astaka di Chukai, Kemaman semasa pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan Razali memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan yang dipercayai palsu terhadap SPRM dalam ceramah pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN