KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung permohonannya untuk mengetepikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada terus mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar 20 Ogos ini.
Tarikh itu ditetapkan pada pengurusan kes itu di Mahkamah Rayuan di sini semalam.
Pada 18 Ogos 2023, Hakim Sequerah menolak permohonan Najib agar beliau menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan tersebut.
Najib mengemukakan permohonan itu selepas perbicaraan berlangsung selama 167 hari atas alasan Hakim Sequerah pernah bertugas di firma guaman yang sama dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Selain memohon agar hakim menarik diri, bekas Presiden UMNO itu juga memohon agar dirinya dilepaskan dan dibebaskan atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Wanita terbabit bagaimanapun telah pulang ke Malaysia pada 7 Julai 2023 dan sedang memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana tersebut sebagai saksi pendakwaan ke-50.
Ketika menolak permohonan Najib, Hakim Sequerah menyatakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal membuktikan wujud hubung kait di antara beliau dan Jasmine dalam bentuk komunikasi secara peribadi atau pertemuan dengannya.
Hakim Mahkamah Rayuan itu berpuas hati penglibatan beliau selaku hakim bicara dalam kes tersebut tidak akan menimbulkan konflik kepentingan mahupun mewujudkan situasi bahawa beliau tidak akan berlaku adil atau berat sebelah terhadap tertuduh.
Hakim Collin menjelaskan, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan sejak 15 tahun lalu selepas wanita itu meninggalkan firma guaman Tetuan Zain & Co. pada 31 Disember 2008.
Menurut beliau, jika Jasmine dipanggil sebagai saksi dalam kes itu sekalipun, tiada bukti menunjukkan beliau tidak mampu untuk menilai keterangan bekas rakan kongsinya itu dan kredibilitinya secara sedar atau sebaliknya.
Ujarnya, perlu wujud kaitan di antara hakim dan situasi persekitaran sebelum beliau membuat keputusan menarik diri daripada mendengar sesuatu kes.
Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.27 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. – UTUSAN










