PETALING JAYA: Datuk R. Ramanan bertekad untuk mengembangkan sektor keusahawanan Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selepas melepasi 100 hari menggalas tanggungjawab di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Ramanan yang merupakan Timbalan Menteri KUSKOP itu berkata, PMKS merupakan tonggak penting dalam ekonomi yang mana ia menyumbang sebanyak 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut beliau, industri PMKS juga merekodkan sebanyak 48 peratus daripada jumlah guna tenaga kerja pada tahun 2022.
“Dalam memajukan agenda ini, saya bercita-cita untuk menjadikan PMKS sebagai pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara. Untuk mencapai sasaran ini, saya akan bekerja keras untuk menyusun inisiatif dan program yang relevan dengan keperluan PMKS.
“Saya akan memastikan bahawa setiap langkah yang diambil akan memberi manfaat yang nyata kepada komuniti keusahawanan, termasuk menyediakan peluang-peluang pelaburan, akses kepada latihan dan pembangunan, serta sokongan dalam pengurusan perniagaan,” katanya kepada satu portal media tempatan.
Untuk rekod, Ramanan yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh itu dipilih untuk menjadi Timbalan Menteri melalui rombakan kabinet pada Disember lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, beliau akan berusaha untuk membangunkan keusahawanan yang berkesan dan inklusif dengan menggalakkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.
“Melalui kolaborasi yang mantap, kita dapat mencipta peluang yang lebih banyak dan lebih baik untuk pertumbuhan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana’, katanya.
Tambahnya, beberapa jalinan diplomatik telah disusun membabitkan wakil negara asia termasuk India, Singapura dan China.
Beliau turut memaklumkan bahwa KUSKOP sedang membuat perancangan untuk lawatan Perdana Menteri ke India tahun ini.
“Saya percaya hubungan diplomatik yang baik sangat penting untuk memajukan sektor PMKS termasuk akses produk tempatan kepada pasaran luar, akses kepada teknologi, serta peluang pekerjaan.
“Setiap agensi mempunyai peranan dan kekuatan yang menyokong ekosistem usahawan dan koperasi. Saya akan sentiasa bekerjasama dengan Menteri, Kementerian dan agnesi untuk mencapai matlamat bersama dalam memajukan ekosistem keusahawanan dan koperasi negara,” jelasnya. – UTUSAN










