Projek kereta kabel dijangka bermula Mei atau Jun depan

Projek kereta kabel dijangka bermula Mei atau Jun depan

BUKIT Bendera salah satu destinasi pelancongan popular di Pulau Pinang kini bakal mempunyai mod pengangkutan baharu iaitu kereta kabel yang dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek kereta kabel Bukit Bendera yang merupakan satu lagi projek mega oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka dimulakan pada hujung Mei atau awal Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek itu mendapat ‘lampu hijau’ selepas memperoleh kelulusan daripada pelbagai agensi antaranya kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta lain-lain.

ZAIRIL KHIR JOHARI

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi selepas kesemua kelulusan yang diperlukan itu diperoleh dan ia dijangka bermula pada hujung Mei atau awal Jun depan.

“Projek kereta kabel Bukit Bendera ini akan mewujudkan satu produk pelancongan serta mod pengangkutan alternatif baharu ke Bukit Bendera yang merupakan destinasi pelancongan popular negeri ini,” katanya selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera, di sini hari ini.

Syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka, Hartasuma Sdn. Bhd. sebelum ini memenangi projek kereta kabel di Bukit Bendera dengan pelaburan RM250 juta yang dibuat melalui inisiatif perkongsian awam swasta dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dengan mengawal selia tersebut, Hartasuma akan memiliki konsesi untuk pusat tarikan pelancong ini untuk tempoh sehingga 30 tahun akan datang, di mana ia akan bertanggungjawab terhadap projek sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, jajaran kereta kabel itu yang sepanjang 2.7 kilometer (km) akan bermula di Taman Botani sehingga ke puncak Bukit Bendera.

Katanya, perjalanan ke puncak akan mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja iaitu masa yang sama diambil jika pengunjung menaiki funikular ke puncak berkenaan.

“Kita laksanakan projek kereta kabel Bukit Bendera ini kerana kereta kabel adalah mod pengangkutan yang paling mesra alam.

“Mana-mana kawasan pelancongan yang memegang status UNESCO seperti di China, Eropah dan sebagainya menggunakan kereta kabel sebagai mod pengangkutan kerana ketika pembinaannya kesan terhadap alam sekitar adalah minima,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang menentang pelaksanaan projek kereta kabel itu, Zairil berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikuti prosedur serta garis panduan yang ditetapkan dalam melaksanakan projek terbabit.

“Tidak ada undang-undang yang kita tidak ikuti, semua kelulusan juga telah diperoleh malah projek ini juga adalah projek mesra alam,” katanya yang memberitahu, kesan projek itu terhadap alam sekitar juga amat minima kerana bilangan pokok yang dipotong sedikit dan tidak ada pokok warisan yang akan dipotong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN