PRK Kuala Kubu Bharu: DAP digesa ambil tindakan ke atas Kor Ming - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: DAP digesa ambil tindakan ke atas Kor Ming

DAP Kor Ming
AB. HALIM TAMURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas Selangor mendesak pimpinan tertinggi DAP mengambil tindakan tatatertib ke atas Nga Kor Ming yang meluluskan dana kementerian demi kepentingan parti politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu. 

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu yang menggunakan kedudukan dengan meluluskan dana daripada hasil cukai rakyat.

Menurutnya, tindakan seumpama itu disifatkan tidak demokratik dan bertentangan dengan prinsip, imej dan nama DAP.

“Ia juga secara jelas mencabuli prinsip demokrasi dalam negara kita dan satu keaiban besar buat Malaysia di mata dunia. Pas Selangor turut menggesa pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak berdiam diri ketika demokrasi dinodai secara terang-terangan,” katanya kepada pemberita.

Kor Ming sebelum ini dilapor mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.21 juta di bawah program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kuala Kubu Bharu.

Peruntukan itu disalurkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Persatuan Bomba dan rumah ibadat bukan Muslim.

Tindakan itu turut dibantah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menyifatkan ia melanggar etika pilihan raya yang dijadualkan berlangsung di DUN berkenaan pada 11 Mei depan.

Tambah Ab. Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, pimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diseru kembali menginsafi falsafah, dasar perjuangan, dan manifesto parti mereka yang berjanji mengangkat nilai keadilan sosial dan demokrasi di negara ini. 

“Jangan menjadi musuh dan penentang kepada dasar dan perjuangan asal parti kalian.

“Kita juga jangan jadi seperti negara besar dunia yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial namun membutakan mata dan memekakkan telinga ketika hak asasi dan keadilan sosial rakyat Palestin dinafikan,” ujarnya.

Katanya lagi, Pas Selangor mengajak pimpinan Kerajaan Madani mencontohi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menangguhkan pengumuman perincian Bajet 2024 Terengganu demi memastikan demokrasi dalam tidak dinodai dan PRK Kemaman dapat dijalankan secara adil dan saksama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN