Polis tahan dua lelaki, rampas 2 kilo dadah lebih RM60,000

Polis tahan dua lelaki, rampas 2 kilo dadah lebih RM60,000

RAZLAM Ab. Hamid (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua rakan yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dicekup polis dalam dua operasi berasingan di sekitar pusat bandar di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir dua kilogram (kg) yang bernilai lebih RM60,000.

Katanya, dalam serbuan pertama iaitu kira-kira pukul 3.30 petang, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun di hadapan kompleks kedai makan di pusat bandar dan hasil daripada tangkapan tersebut, polis kemudian telah merampas satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin.

“Susulan daripada penangkapan suspek pertama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun di sebuah rumah ibadat di Macallum, kira-kira pukul 8.50 malam, pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Razlam, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas antaranya 50 batang rokok yang setiap satunya berisi campuran daun tembakau serta bahan disyaki dadah jenis ‘mushroom’.

“Hasil siasatan lanjut, suspek kemudian telah membawa polis ke sebuah rumah yang disewa oleh suspek di Macallum dan polis juga telah menjumpai pelbagai jenis dadah termasuk jenis MDMA, ketamin, rokok berisi campuran tembakau dan ‘mushroom’, pil ekstasi dan dadah jenis ganja serta ‘mushroom’ yang disimpan di rumah itu,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek saling mengenali dan mereka memproses sendiri dadah MDMA serta lain-lain untuk dijual bagi pasaran tempatan.

“Hasil risikan, sindiket ini didapati telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dan jumlah dadah yang dirampas juga boleh digunakan oleh seramai 1,653 orang,” katanya yang memberitahu, suspek pertama didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek kedua pula negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Mengulas lanjut, Razlam berkata, tangkapan bagi kes pertama telah dituduh di Mahkamah Majistret George Town, semalam manakala suspek kedua kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 25 April untuk siasatan.

“Polis turut menyita sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM8,000 dan nilai sitaan dan keseluruhan rampasan berjumlah RM68,086,” katanya yang menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Razlam berkata, seorang pekerja pusat hiburan berusia 26 tahun ditahan Sabtu lalu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah.

Katanya, ketika ditahan, polis turut menjumpai sejumlah dadah bernilai kira-kira RM4,000 bersamanya.

“Susulan penahanan itu, polis berjaya menyita sebuah kereta jenis BMW X4 bernilai lebih RM100,000,” katanya yang memaklumkan, suspek didapati aktif mengedar dadah sejak Februari lalu dan dia kini direman selama tujuh hari bermula 20 April lalu bagi membantu siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN