Polis tahan dua individu terbabit insiden letupan bunga api, mercun di Sungai Petani - Utusan Malaysia

Polis tahan dua individu terbabit insiden letupan bunga api, mercun di Sungai Petani

INSIDEN letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar Sungai Petani, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan insiden letupan bunga api dan mercun yang membahayakan nyawa orang ramai di Dataran Jam Besar, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 24 tahun ditahan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas kejadian itu berlaku.

“Suspek pertama yang berumur 27 tahun merupakan peniaga serta pemilik bunga api dan mercun itu ditahan di rumahnya di Taman Keladi, di sini petang ini.

“Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada suspek pertama dan dia dipercayai membakar mercun terbabit sehingga mencetuskan kegemparan awam,” katanya di sini hari ini.

Zaidy berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini dalam proses permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.

Tambahnya, insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek kedua membakar mercun jenis ‘happy boom firework’ yang diperoleh daripada suspek pertama.

“Suspek pertama ketika kejadian sedang bersiap untuk menutup perniagaannya di kaki lima dataran berkenaan.

“Mercun tersebut dikatakan telah terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain menyebabkan suasana menjadi cemas dengan dentuman bersama percikan api dalam kuantiti banyak,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan itu mencetuskan suasana panik orang ramai yang berada berdekatan dan pasukan bomba yang tiba mengesahkan tiada kebakaran dan kecederaan berlaku.

Utusan Online hari ini melaporkan orang ramai cemas selepas berlaku letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar pad pukul 4.48 pagi ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN