JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ekonomi Johor akan terus berkembang pesat mengatasi negeri lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu bersandarkan beberapa projek berimpak tinggi yang dirancang, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.
“Zon ekonomi dan zon kewangan, kedua-duanya akan memacu pertumbuhan ekonomi lebih besar seperti yang disasarkan kerajaan negeri. Pelbagai pelan sedang dirangka (untuk menjayakannya).
“Ini akan bantu percepatkan pertumbuhan ekonomi Johor, jangkaannya dalam masa setahun atau dua tahun akan datang, ekonomi Johor akan lebih pesat berbanding negeri lain,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Johor di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar menyatakan komitmen beliau untuk membasmi isu kemiskinan tegar di negeri ini, selari dengan hasrat membangunkan Johor sebagai sebuah negeri maju.
“Pembangunan infrastruktur dan industri yang dirancang perlu mengambil kira manfaat yang dibawa kepada masyarakat termasuk bagi golongan akar umbi. Mengikut rekod, jumlah individu miskin tegar di negeri ini berada di bawah paras 2,000 orang. Insya-Allah kita mampu noktahkan kemiskinan tegar di Johor dalam masa yang singkat.
“Disebabkan itu, projek-projek berimpak tinggi seperti zon ekonomi dan zon kewangan, serta projek tebatan banjir perlu dilaksanakan segera. Oleh itu, saya minta pegawai-pegawai kerajaan untuk pastikan projek itu berjalan dengan lancar,” katanya.










