SHAH ALAM: Kepemimpinan PKR diingatkan dalam melaksanakan pengukuhan parti tidak boleh lari daripada games of numbers kerana sebagai sebuah organisasi politik permainan sebenarnya adalah bergantung kepada pengaruh pengundi pada pilihan raya.
Justeru, kepemimpinan parti itu digesa memastikan jumlah keahlian terkini PKR yang seramai 1.15 juta orang perlu dimanfaatkan dengan sewajarnya untuk berdepan siri pilihan raya pada masa akan datang.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan keanggotaan sehingga Mac lalu, Selangor mencatatkan jumlah peningkatan keahlian tertinggi berbanding kongres pada Jun 2023 iaitu pertambahan seramai 5,770 orang.
“Peningkatan itu menjadikan Selangor paling ramai dengan jumlah keahlian seramai 344,613 orang, diikuti Kelantan yang merekodkan pertambahan seramai 2,027 orang menjadikan negeri itu memiliki keanggotaan PKR seramai 60,356.
“Kemudian diikuti Johor dengan jumlah keahlian seramai 65,160 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 1,878 dan Pulau Pinang dengan peningkatan sebanyak 1,400 orang dan jumlah keahliannya terkini seramai 66,700,” katanya dalam Konvensyen 25 Tahun PKR, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan ukuran kejayaan PKR bukan pada jumlah wakil yang berada dalam Kabinet dan Dewan Rakyat atau kepemimpinan kerajaan negeri.
Jelasnya, PKR dinilai melalui kemampuan menterjemahkan agenda reformasi kepada dasar-dasar kerajaan terutama berkaitan hal ehwal ekonomi yang akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat.
“Ukuran sebenarnya adalah bila kita pegang tampuk kuasa, kita terjemahkan tujuan reformasi dalam dasar kerajaan, dari segi ekonomi lebih-lebih lagi, revenue negara sangat terhad, komitmen terus meningkat.
“Kita mungkin terpaksa melakukan suatu perkara yang pahit dari sudut jangka pendek, tetapi kita tahu itu adalah langkah yang betul, sebab itu sekarang kita mula sebut subsidi bersasar, dan kita hendak buat secara betul, sebab itu kita kumpul data.
“Ia mesti bermula dengan asas kerja yang kemas dan sistematik. Itu satu contoh idea reform, buat perkara yang betul untuk jangka masa panjang,” jelasnya. – UTUSAN










