Pintu kecil ke bilik rahsia simpan arak tidak bercukai

Pintu kecil ke bilik rahsia simpan arak tidak bercukai

NORLELA Ismail menunjukkan barangan rampasan minuman keras tak bercukai ketika sidang akhbar di Kastam Kargo KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kewujudan sebuah pintu kecil ada lorong sempit ke bilik rahsia membongkar taktik sebuah premis menyorok pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai.

Kegiatan itu namun ditumpaskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

Menurut Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail, premis terletak di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini diserbu pasukan tersebut pukul 8 malam 14 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan rapi dilakukan, kami berjaya menemui minuman keras dari pelbagai jenis dan jenama disimpan dalam bilik rahsia di lokasi itu,” katanya dalam sidang akhbar.

Sebanyak 1,362.27 liter minuman berkenaan kemudian dirampas, malahan ujar beliau, ada barang terbabit dilekatkan dengan setem cukai yang turut disyaki sebagai palsu.

Beberapa keping setem tersebut yang belum sempat digunakan kata Norlela, juga ditemui di premis minuman keras berlesen itu dan kesemua barangan disita bagi siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan barangan kes yang disita itu tambah beliau lagi, dianggarkan bernilai kira-kira RM69,400 yang melibatkan jumlah duti dan cukai setem mencecah RM86,200.

Seorang lelaki warganegara Malaysia dan juga merupakan pekerja di premis tersebut turut ditangkap bagi membantu proses siasatan yang masih lagi berlangsung pada ketika ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam yang sabit kesalahan boleh dihukum denda lebih 10 kali nilai barang,” katanya.

Bahkan ujar beliau, pesalah terbabit disiasat mengikut Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana melakukan kesalahan dengan memiliki barangan yang belum dibayar duti eksais.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti eksais atau RM50,000 mengikut mana-mana kadar yang didapati lebih besar.

Norlela malah menambah, untuk kedua-dua kes tersebut, pelaku boleh dihukum denda tidak lebih 20 kali amaun atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×