PETALING JAYA: Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 2022 diperkenalkan dengan tujuan meningkatkan kesedaran serta memberi perlindungan kepada pekerja dalam melaporkan risiko keselamatan atau masalah kesihatan di tempat kerja.
Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MiSHA), Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketelusan dan keberanian pekerja dalam melaporkan ketidakpatuhan yang berkaitan dengan kesihatan mereka di tempat kerja.
“Antara perubahan yang menjadi tumpuan daripada pihak industri adalah dari segi peningkatan kadar penalti dikenakan bagi pelanggaran akta, yang menandakan bahawa keselamatan pekerja telah mula menjadi matlamat utama pembangunan negara.
“Antara pindaan penalti yang ketara adalah pada Seksyen 23 iaitu penalti bagi kesalahan di bawah Seksyen 20 (tanggungjawab pengeluar terhadap loji untuk digunakan di tempat kerja) atau Seksyen 21 (tanggungjawab pengeluar terhadap bahan untuk digunakan di tempat kerja) dinaikkan dari RM 20,000 kepada RM200,000.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 30 iaitu penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, penalti dikenakan terhadap majikan yang gagal menubuhkan jawatankuasa tersebut telah dinaikkan dari RM5,000 kepada RM100,000 atau penjara untuk tempoh enam bulan hingga satu tahun,” katanya.
Abd. Mutalib berkata, pekerja juga tidak terlepas dengan pindaan penalti melalui pindaan pada Seksyen 24 (tanggungjawab pekerja) yang dinaikkan dari RM1,000 kepada RM2,000.
Menurutnya, hal ini menegaskan keperluan bagi pekerja untuk mematuhi tugas dan tanggungjawab mereka di tempat kerja.
Katanya, pindaan akta telah memperuntukkan satu jawatan baharu yang dinamakan Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Co-ordinator) iaitu menurut Seksyen 29A, majikan di tempat kerja tidak termasuk dalam mana-mana kelas atau penerangan tempat kerja yang diterbitkan di dalam Warta dibawah subseksyen 29(1) .
“Menurut seksyen ini juga, diwajibkan melantik salah seorang daripada pekerja sebagai Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan jika mereka mempunyai lima orang pekerja atau lebih di tempat kerja mereka.
“Ini bagi memastikan syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana dapat mematuhi keperluan undang-undang walaupun ketiadaan seorang pegawai KKP yang tetap,” ujarnya.
Beliau turut berkata, pindaan itu akan memberi impak besar kepada sektor industri dalam negara seperti majikan dikehendaki bersiap sedia untuk mematuhi peraturan baharu yang diperkenalkan, termasuk menjalankan penilaian risiko dan memastikan keselamatan serta kesihatan pekerja di tempat kerja.
“Perlindungan yang diberikan diharapkan dapat mendorong kerjasama yang baik antara majikan dan individu yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pekerjaan.
“Ini juga memastikan individu ini dilindungi dari tindakan balas yang mungkin menghalang mereka dari melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja dapat diperbaiki dan diperkukuh.
“Bagi pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), langkah yang efektif perlu dilakukan untuk memastikan proses peralihan berjalan lancar dan pematuhan dijalankan oleh syarikat,” katanya. – UTUSAN









