PUTRAJAYA: Permohonan semakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan salah guna kuasa, akan didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan.
Permohonan itu akan didengar pada 9 Julai ini dan pada hari yang sama, panel berkenaan dijadualkan mendengar bantahan awal pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim membenarkan permohonan Muhyiddin agar panel lima hakim menyemak keputusan panel berlainan dua bulan lalu yang memerintahkan keempat-empat pertuduhan terhadap beliau `dihidupkan semula’.
Bekas Perdana Menteri memohon mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos 2023.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes yang didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin mengemukakan permohonan bertulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan melalui sepucuk surat bertarikh 19 April lalu melalui peguam Chetan Jethwani agar tambahan ahli panel mendengar permohonan itu.
Pada 28 Februari lalu, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.
Muhyiddin memfailkan permohonan semakan tersebut pada 29 Februari lalu atas alasan antaranya panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas.
Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.
Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) ASPRM yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN










