KEMAMAN: Seekor penyu agar jantan ditemukan mati terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ija (GPI) Daerah Kemaman, Normazita Ali berkata,
reptilia marin tersebut dipercayai mati akibat terjerut pukat pari yang digunakan nelayan untuk menangkap hasil laut.
“Saya dimaklumkan mengenai penemuan bangkai penyu itu daripada orang awam yang kebetulan mengunjungi pantai tersebut.
“Saya memang terkejut melihat keadaan bangkai penyu itu mulai mereput dan terdapat pukat di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Normazita berkata, penyu jantan dianggarkan seberat 150 kilogram dengan panjang 152.4 sentimeter itu dipercayai mati beberapa hari lalu sebelum terdampar di pantai.
“Saya telah memaklumkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Normazita berkata, dia kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab nelayan yang masih menggunakan pukat pari.
Tambahnya, penyu juga ditemukan mati akibat termakan plastik dan orang ramai perlu lebih cakna dengan isu ini.
“Ini bukan penemuan kali pertama untuk tahun ini, malah sebelum ini sudah ada tiga ekor lagi penyu yang ditemukan mati sepanjang saya dan rakan-rakan membersihkan kawasan pantai,” ujarnya. – UTUSAN










