PASIR PUTEH: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Jalan Pasir Puteh-Machang-Gerik berhampiran Kampung Felcra Teratak Batu di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi mangsa yang berusia 37 tahun maut di lokasi akibat kecederaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas mangsa terlanggar pintu kereta yang dibuka warga emas ketika berhenti di tepi jalan.
Menurut beliau, lelaki berkenaan yang tidak menyedari kehadiran motosikal jenis Honda Dash yang ditunggangi mangsa dari arah sama telah merempuh pintu kereta sebelum terpelanting ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian dirempuh oleh MPV jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 42 tahun.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Zaizul Rizal berkata, kedua-dua pemilik kereta dan MPV tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga.- UTUSAN










