MELAKA: Penerapan teknologi hijau dalam perniagaan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini masih rendah berbanding syarikat besar dan multinasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ts. Mohd. Hafizam Mustaffa berkata, kurang kesedaran dikenal pasti antara punca yang menyebabkan PKS tidak mengaplikasikan amalan berkenaan secara meluas.
Kata beliau, pensijilan hijau sangat penting kepada PKS tempatan sekiranya mereka berhasrat untuk bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global.
“Masih banyak ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik dalam penerapan elemen hijau terutama kepada PKS yang dilihat masih rendah. Syarikat multinasional sangat menitikberatkan elemen ini cuma untuk PKS kita kena buat lebih banyak kesedaran.
“Kalau ikutkan syarikat yang hendak bersaing di peringkat dunia, pembekalan produk memerlukan mereka mempunyai pensijilan hijau dan sebagainya. Produk tertentu yang dihasilkan mungkin tidak dapat bersaing dengan produk lain jika tidak memiliki sijil ini.
“Jadi kita kena terapkan lagi pemahaman tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini. Salah satunya dengan penganjuran Anugerah Hijau Melaka (AHM) untuk kita dapatkan amalan terbaik dan kongsikan kepada PKS dan syarikat di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena AHM 2024 di Wisma Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) Melaka, Kamarulzaman Ahamad Zainudin.
AHM 2024 akan berlangsung pada 27 September depan menyasarkan lebih 40 penyertaan dan terbuka kepada semua sektor melibatkan empat kategori iaitu pembudayaan hijau, projek hijau, inovasi hijau dan program komuniti hijau.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, SIRIM menggalakkan PKS menerapkan teknologi hijau sebagai persediaan menghadapi landskap perniagaan yang semakin berubah.
Menurutnya, tidak lama lagi negara luar akan mula melihat penerapan teknologi hijau sebagai elemen yang perlu ada dalam setiap perniagaan.
“Contohnya akan datang kita tahu tidak lama lagi Eropah dan sebagainya akan melihat perkara berkaitan (teknologi hijau). Jadi untuk persediaan memang kita galakkan (PKS) mulakan dengan teknologi hijau yang paling asas,” katanya. – UTUSAN










