Peniaga ketam didakwa hina Raja Perlis

Peniaga ketam didakwa hina Raja Perlis

PENJUAL ketam (dua dari kanan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar selepas menghadapi pertuduhan menghina Raja Perlis pada 6 Mac lalu di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang peniaga ketam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 6 Mac lalu.

Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan memohon dibicarakan. 

Mengikut pertuduhan, Hasbullah didapati menggunakan akaun Facebook miliknya, ‘Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ku Muhammad)’ bagi membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina Raja Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu disedari oleh pengadu kira-kira pukul 3.26 pagi di Taman Fauziah di sini, pada 6 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Hasbullah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Muhamad Asyraf Md Kamal memohon agar tiada sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan itu agak serius dengan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Selain itu, hasil analisa siasatan dilakukan oleh  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini berhubung kes itu turut menjurus kepada tertuduh.

Namun begitu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK), Shazwan Shaidan yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan Hasbullah perlu menjaga ibunya yang sedang uzur dan lumpuh.

Selain itu, tertuduh juga memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai masalah kesihatan mental serta masih menjalani rawatan bagi menstabilkan keadaan emosinya.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menetapkan agar tertuduh perlu menjalani penilaian psikiatri selama satu bulan dan tiada jaminan ditawarkan sehingga laporan kesihatan diperolehi. 

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 15 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini