Penghuni Penjara Marang nikmati bubur lambuk Istana Pahang - Utusan Malaysia

Penghuni Penjara Marang nikmati bubur lambuk Istana Pahang

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tiga dari kiri) memasukkan santan ketika proses menyediakan bubur lambuk resipi Istana Pahang di Penjara Marang, Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kehadiran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Penjara Marang di sini untuk menyediakan juadah istimewa bubur lambuk Istana Pahang menceriakan penghuni di penjara itu, semalam.

Baginda berkata, sebanyak tujuh periuk bubur lambuk disediakan dengan anggaran lebih 3,000 bekas dapat diagihkan kepada penghuni di penjara tersebut.

Titah baginda, resipi bubur lambuk Istana Pahang itu sangat istimewa kerana menggunakan pelbagai bahan yang segar dengan kandungan protein yang tinggi dan menjadi kesukaan ramai setiap kali disediakan di luar istana.

“Sebenarnya, tiap-tiap tahun sebelum saya jadi Permaisuri pun, memang suka memasak untuk rakyat jelata apatah lagi bubur lambuk memang sinonim dengan kedatangan Ramadan.

“Bermula tahun lepas, saya mula menyediakan bubur lambuk ini di Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Alhamdulillah, hari ini rezeki penghuni di Penjara Marang pula merasai sendiri air tangan dari Istana Pahang,” titah baginda.

Terdahulu, ketibaan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; serta dua puteri Terengganu iaitu Tengku Puteri Utama, Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah Sultan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Titah baginda lagi, bubur lambuk Terengganu dan Pahang tidak banyak beza berbanding resipi bubur lambuk di negeri lain, terutama Kuala Lumpur yang terkenal dengan bubur lambuk Kampung Baru.

Baginda memaklumkan, resipi bubur lambuk Pahang dan Terengganu banyak menggunakan ikan, pelbagai pucuk paku merah, lada hitam dan santan.

“Namun kali ini, kita bawakan khas resipi bubur lambuk Istana Pahang yang menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama di samping bahan lain yang biasa digunakan dalam proses pembuatan bubur lambuk.

“Penjara Marang sangat dekat di hati saya, kerana ada produk keluarannya yang sangat istimewa iaitu songket tenunan asli Terengganu.

“Sebagai Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, usaha mereka dalam memartabatkan seni warisan ini sangat dihargai dan penyediaan bubur lambuk Istana Pahang ini adalah antara inisiatif untuk menceriakan mereka pada Ramadan,” katanya. – UTUSANB

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN