PETALING JAYA: Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan dilaksanakan secara berfasa dalam jangka masa dua tahun melalui kajian empirikal berdasarkan tiga negara iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom (UK).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian tersebut akan dipantau oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kajian Komparatif dan Jawatankuasa Teknikal.
“Keanggotaan Jawatankuasa Kajian Komparatif melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihanraya dan Reformasi Institusi; seorang wakil ahli Dewan Rakyat masing-masing daripada blok kerajaan dan pembangkang serta agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam; Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan menjadi urusetia bersama bagi kedua-dua jawatankuasa ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua jawatankuasa tersebut akan memastikan kajian emprikal berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelaksanaan pengasingan di negara lain serta pandangan pihak berkepentingan tempatan.
“Kajian empirikal pertama akan diadakan di Kanada pada bulan Mei tahun ini. Kajian ini, antara lain, akan melibatkan perjumpaan dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada iaitu Arif Virani, Jawatankuasa Pilihan Khas dan Ketua Pengarah Pendakwa Kanada.
“Selain itu, satu Perbincangan Meja Bulat (Round Table Discussion) dijangka akan diadakan di University Ottawa dengan penyertaan dan kerjasama Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) bersama-sama dengan pakar perundangan yang berkenaan.
“Perbincangan di Kanada akan memfokuskan kajian empirikal secara terperinci dan mendapatkan keterangan secara terus (direct evidence) mengenai model pengasingan terbaik yang diamalkan (best practice),” katanya.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, parameter kajian empirikal tersebut mencakupi beberapa aspek termasuk perlindungan institusi terhadap pelantikan dan pemecatan Pendakwa Raya, aspek akauntabiliti khususnya tentang keperluan melaporkan kepada mana-mana badan sebagai mekanisme semak dan imbang.
“Ia juga akan memperhalusi takat campur tangan Peguam Negara berkaitan penetapan dasar keadilan jenayah dan kuasa untuk menghentikan pendakwaan jika dimulakan oleh Pendakwa Raya serta struktur perkhidmatan, struktur organisasi dan operasi pejabat Pendakwa Raya di luar negara.
“Pelaksanaan kajian ini memperlihatkan bahawa Kerajaan MADANI akan terus kekal komited dalam agenda reformasi institusi yang akan memastikan tadbir urus negara yang lebih demokratik dipertingkatkan selaras dengan pentadbiran, sistem perundangan dan tatakelola yang baik,” katanya. –UTUSAN










