Pemantapan tatakelola selamatkan ekonomi dari rasuah

Pemantapan tatakelola selamatkan ekonomi dari rasuah

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi fokus utama terhadap agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti bagi menyelamatkan ekonomi negara dari jenayah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Seri Azam Baki berkata, isu-isu tatakelola itu meliputi pelbagai perkara, bukan sahaja integriti atau hal berkaitan penyelewangan serta rasuah, malah ia meliputi kelemahan tatakelola dalam pentadbiran seperti yang telah ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM akan menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Intergriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini. 

“BPGN berperanan untuk menasihati Kerajaan dan melaporkan perkembangan NACS kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula 2024 hingga 2028,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Media SPRM 2023 di sini.

Dalam majlis tersebut, Wartawan Kanan (Eksekutif) Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman dinobatkan selaku pemenang tempat ketiga kategori Media Cetak dan Portal Berita menerusi laporan bertajuk “RM 87.9J Dana Penjana Kerjaya Diseleweng” dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 serta trofi.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar; Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil dan Timbalan Pengarang Kosmo!/ Kosmo! Ahad, Jamdi Nasir

Anugerah Media SPRM 2023 merupakan penganjuran kali keempat sejak ia diperkenalkan pada 2020 bertujuan mengiktiraf karya-karya pengamal media.

Mengulas lanjut, Azam Baki menyifatkan media arus perdana sebagai sumber utama yang perlu dipercayai dan diyakini dalam menyampaikan berita khususnya berkaitan siasatan dijalankan agensi penguatkuasaan.

Pada masa sama, Azam menasihatkan masyarakat untuk tidak mempercayai berita tular yang dikongsikan di platform media sosial kerana bahan dikongsikan tidak mempunyai kesahihan fakta

“Ini kerana kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti. Jadi penyampaian berita yang dihasilkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih.

“Media arus perdana turut memainkan peranan yang signifikan dalam menangkis penularan berita-berita palsu yang disebarkan di media sosial dan jangan pula menjadikan berita tohmahan di media sosial yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sebagai berita di arus perdana,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN