Pelajar maut motosikal ditunggangi langgar kereta - Utusan Malaysia

Pelajar maut motosikal ditunggangi langgar kereta

KEADAAN motosikal ditunggangi seorang pelajar selepas terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Kampung Gorek, Bukit Payung, Marang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang pelajar berusia 15 tahun maut setelah motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di jalan Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Bukit Sawa di sini meninggal dunia di lokasi kejadian setelah parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Razman Setapa, kemalangan melibatkan motosikal Yamaha 125z dan kereta jenis Hyundai Getz dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Alor Limbat menghala ke Kampung Belukar Gorek dekat sini.

“Sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan berlakunya perlanggaran pada bahagian hadapan kanan kereta.

“Penunggang motosikal alami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta terlibat pula tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN