BINTULU: Kerajaan Sarawak bercita-cita menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai hab terpenting di rantau Asia apabila proses pengambilalihan pelabuhan itu selesai Jun ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selepas mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan Sarawak menjalankan perancangan pembangunan di pelabuhan tersebut.
“Apabila Pelabuhan Bintulu diambil alih, saya ada rancangan dan ia akan menjadi satu hab yang terpenting di rantau Asia. Tapi perkara ini saya tidak boleh beritahu dulu,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), di Paragon Street Mall, Bintulu di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga memberi jaminan perancangan pembangunan pelabuhan itu turut akan melibatkan kawasan di pedalaman negeri tersebut.
Sehubungan itu, Abang Johari menyeru agar semua rakyat Sarawak untuk terus bekerjasama dan mengekalkan perpaduan dalam membangunkan negeri itu.
“Perancangan pembangunan ini akan turut merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.
“Kerjasama dan perpaduan penting untuk kita menjanakan pembangunan kita di negeri Sarawak,” kata beliau. – UTUSAN










