TELUK INTAN: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh teman lelaki isterinya dalam kejadian di Langkap, dua minggu lalu.
Tertuduh, D. Tanabalan, 42, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa membunuh S. Sundararaj, 32, di tepi Jalan Taman Dato’ Nazri Langkap dalam daerah Hilir Perak pada pukul 6.30 petang hingga 8 malam, 5 April lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan forensik dan kimia. – UTUSAN










