Peguam Negara diminta kaji semula laporan kes skim penipuan pelaburan

Peguam Negara diminta kaji semula laporan kes skim penipuan pelaburan

HISHAMUDDIN Hashim (depan tengah) bersama mangsa-mangsa skim penipuan pelaburan berkumpul dihadapan Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon pihak Peguam Negara untuk mengkaji semula laporan-laporan kes membabitkan skim penipuan pelaburan dengan nilai kerugian berjumlah RM120 juta.

Ia agar siasatan salah laku jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) diambil tindakan sewajarnya serta menilai surat aduan daripada mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pertubuhan berkenaan yang mewakili lebih 500 mangsa skim penipuan pelaburan membabitkan dua syarikat utama itu turut memohon Peguam Negara menilai dokumen mengandungi representasi undang-undang yang diserahkan hari ini.

“Kami turut memohon Peguam Negara untuk mempertimbangkan supaya kes ini dapat disiasat secara jenayah dan mengeluarkan satu arahan kepada JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) supaya siasatan dapat dibuka semula,” katanya.

Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat aduan berkaitan kes penipuan pelaburan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diterima oleh Ketua Unit Komunikasi Strategik AGC, Hasniza Hussin, di sini hari ini.

Media pada 4 Mac 2023 melaporkan berhubung skim pelaburan menggunakan nama tokoh korporat terkenal selain menawarkan dividen tinggi sehingga 3.3 peratus sebulan menyebabkan ramai terperdaya sehingga kerugian lebih RM100 juta.

Ia selepas menyertai skim penipuan pembelian saham yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pelaburan sejak 2021.

Hishamuddin berkata, syarikat berkenaan mengaburi mata pelabur dengan mendaftarkan syarikat dengan nama berhad, Suruhanjaya Sekuriti selain menggunakan nama tokoh-tokoh korporat yang terkenal.

Menurutnya, permasalahan mula timbul apabila mangsa tidak menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan dan menjadi semakin meruncing ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Jelasnya, sejak itu tiada sebarang pembayaran dilakukan oleh syarikat dan usaha mangsa untuk berhubung atau bertemu wakil-wakil syarikat menemui jalan buntu.

Dalam pada itu, Hishamuddin mendakwa, dalang syarikat berkenaan juga dipercayai masih bergiat aktif menawarkan skim-skim pelaburan kepada orang awam ketika ini.

Menurut salah seorang mangsa, Fazlifah Awang, 49, dia bersama ibunya mengalami kerugian kira-kira RM300,000 selepas menyertai skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

Fazlifah yang merupakan seorang peniaga dari Puncak Alam itu turut memohon campur tangan pihak kerajaan dalam kes tersebut memandangkan ia membabitkan nilai kerugian yang tinggi membabitkan ramai mangsa.

“Ada yang laburkan wang pencen dan wang simpanan mereka, ada dalam kalangan mangsa yang sudah berpencen tapi terpaksa bekerja semula disebabkan wang yang sudah habis dilaburkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN