Parti AMANAH cadang BRT ganti  PJD Link

Amanah cadang BRT ganti  PJD Link

AMMAR ATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kerajaan tidak wajar membatalkan projek lebuh raya PJD Link (PJD Link) tanpa sebarang projek alternatif, menurut Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha Amanah Petaling Jaya, Ammar Atan berkata, pihaknya memahami alasan mengapa projek itu dibatalkan, namun solusi alternatif wajar diwujudkan memandangkan masalah kesesakan jalan di Petaling Jaya semakin melarat sejajar dengan peningkatan penduduk dan perumahan bertingkat.

Sehubungan itu kata beliau, Amanah Petaling Jaya ingin mengesyorkan agar projek Bas Rapid Transit (BRT) diperkenalkan sebagai projek alternatif baharu. 

“Sistem BRT iaitu laluan khas bas di paras jalanan atau menggunakan jejambat, adalah lebih wajar berbanding pembinaan lebuhraya baharu untuk mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, sistem BRT adalah lebih murah dan lebih mudah dibina dan BRT juga dapat disambungkan dengan sistem pengangkutan awam lain seperti transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Komuter KTM untuk memastikan pengguna menikmati keterhubungan yang lancar.

Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya berkenaan kerana pelan dikemukakan tidak menepati syarat

Malah, pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Ammar berkata, Amanah menggesa Kerajaan Persekutuan dan negeri dapat memulakan langkah segera dalam mengkaji solusi alternatif terbaik untuk PJD Link. 

“ Rakyat tiada masa menunggu bertahun lamanya untuk solusi terbaik seperti yang telah dialami dalam kerajaan-kerajaan lepas.

“ Projek BRT ini akan memberi manfaat terbesar kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan tanpa mengira kaum.

“Amanah Petaling Jaya amat berharap cadangan BRT ini dapat dikaji untuk kebaikan rakyat Petaling Jaya dan kami percaya bahawa ia akan menjadi model yang terbaik untuk diperluas ke kawasan-kawasan yang mempunyai aliran trafik tinggi yang lain,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN