P. Ramlee: Cukup dengan bertentang matanya - Utusan Malaysia

P. Ramlee: Cukup dengan bertentang matanya

DUA potret lama yang menjadi simpanan koleksi Nazran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU Allahyarham seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh masih hidup, umurnya sudah mencecah 95 tahun.

Dan sekiranya umurnya panjang, pasti banyak lagi cerita kejayaan industri perfileman dicatatkan.
Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun akibat serangan jantung pada pukul 4.30 pagi selepas tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Dedap, Setapak, yang kini dikenali sebagai Pustaka Peringatan P.Ramlee.

Pun begitu, begitu ‘luar biasa’ apabila filem dan segala cerita berkaitan tentang P.Ramlee masih ‘hidup’ sehingga kini. Auranya jelas terasa lebih-lebih lagi dengan filem yang ada.

Tanyalah generasi tua dan muda, Melayu, Cina atau India pasti tahu tentang filem-filem lakonannya. Tidak pernah jemu untuk ditonton walau beribu kali. Malah banyak juga cerita di sebalik tabir bagi mereka yang pernah bekerja atau berjumpa dengannya.

Salah seorangnya ialah Nazran Hamid, 64 iaitu anak kepada Allahyarhamah seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail hasil perkahwinan bersama suami keduanya, Allahyarham H. M. Rohaizad @ Hamid Mohd.

Pertemuan saya bersama Nazran ketika berkunjung ke Singapura baru-baru ini sedikit sebanyak dapat berkongsi cerita tentang kisah yang mungkin tidak diketahui ramai.

Menurut Nazran, P. Ramlee amat dekat dengannya serta seisi keluarga apabila seniman tersebut berkahwin dengan Puan Sri Saloma yang merupakan adik kepada ibunya.

“P.Ramlee menjadi sebahagian keluarga saya apabila dia berkahwin dengan ibu saudara saya itu.

“Saya pernah berjumpa dengan beliau sebanyak tiga kali seumur hidup saya dan auranya cukup terasa. Saya melopong juga apabila dapat melihatnya secara bertentangan mata,” katanya.

Jelas Nazran, kali pertama dia melihat P.Ramlee ketika di rumah yang terletak Kampung Kaki Bukit, Singapura.

“P.Ramlee dan Saloma datang ke rumah untuk bertemu datuk saya (ayah Saloma). Saya sewaktu itu dijaga datuk saya sejak berumur satu tahun selepas ayah saya meninggal dunia pada 1961.

“Kali kedua saya bertemu P. Ramlee di Jalan Dedap, Setapak pada 1971 ketika saya berusia 10 tahun. Saya masih ingat lagi duduk makan tengah hari bersama ibu, Saloma dan P.Ramlee. Itu antara kenangan yang saya tidak dapat lupakan sampai bila-bila. Auranya jelas terasa apabila saya makan bersama dengannya. Boleh dikatakan setiap saat bersama P.Ramlee, nilainya bagaikan berjuta emas,” jelasnya.

Dia bagaimanapun menyimpan rasa kesal dan kecewa apabila tiada gambar tersimpan untuk dijadikan kenangan.

“Masa dulu bukan macam sekarang. Kamera di mana-mana. Kalaulah ada teknologi seperti sekarang pasti banyak gambar yang tersimpan,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kali terakhir dia bertemu P. Ramlee adalah pada 1973 di Mountain Emily, Singapura di hari perkahwinan kakak sulungnya, Sharifah Haslinda.

“P.Ramlee sempat menya­nyikan beberapa lagu sebelum beliau meninggal dunia di tahun yang sama,” jelasnya.

Studio Malay Film Productions (MFP) telah ditubuhkan pada 1940 oleh Shaw Organization, yang diasaskan oleh adik-beradik Runme Shaw dan Run Run Shaw.

Filem Melayu dirakam dan disunting di pekarangan studio yang menempatkan set berskala besar meniru lokasi seperti kampung.

Antara 1941 dan 1967, zaman yang dikenali sebagai Zaman Keemasan Pawagam Melayu, studio ini menghasilkan lebih daripada 150 filem.

Selepas penutupan sementara semasa Pendudukan Jepun, studio itu dibuka semula dan mengeluarkan filem pertama selepas perang, Singapura Di-Waktu Malam (“Singapore at Night”) pada tahun 1947.

Filem Shaw dirakam oleh pengarah terkenal seperti B S Rajhans, Jamil Sulong dan Ramon Estella. Bintang terbesar studio ini ialah P. Ramlee, yang merupakan pelakon, penyanyi, pengarah dan komposer kelahiran Pulau Pinang yang membintangi lebih 60 filem dan mengarahkan lebih daripada 30 filem.

Pada akhir 1960-an, MFP merosot kerana industri filem tempatan menghadapi persaingan untuk penonton dari televisyen dan filem asing, serta peningkatan kos yang timbul daripada pertikaian buruh.

Ramai bakat besar, termasuk P.Ramlee, turut berpindah ke Kuala Lumpur selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 1963. Shaw Organization mengikutinya pada 1966 dan studio MFP akhirnya ditutup pada 1967. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN