Orang ramai cemas bunga api, mercun meletup di Dataran Jam Besar - Utusan Malaysia

Orang ramai cemas bunga api, mercun meletup di Dataran Jam Besar

INSIDEN letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar Sungai Petani, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Orang ramai cemas apabila berlaku letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.48 pagi itu, pengunjung dan peniaga dilihat melarikan diri sebaik mendapati letupan menjadi tidak terkawal.

Berdasarkan video kejadian yang tular, beberapa individu dilihat bermain bunga api di tepi jalan sebelum letupan itu menjadi tidak terkawal selepas ia meletup di bawah.

Difahamkan, letupan merebak selepas percikan bunga api itu turut mengakibatkan sejumlah bunga api dan mercun yang terletak berhampiran turut meletup sama.

Video berdurasi lebih dua minit itu menunjukkan orang ramai ketakutan dan melarikan diri serta mengalihkan kenderaan masing-masing dari kawasan tersebut.

Terdapat video lain yang tular menunjukkan jentera bomba tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kes kebakaran sampah di kawasan Bazar Aidilfitri Dataran Jam Besar Sungai Petani pada pukul 4.55 pagi tadi.

Difahamkan, ketika anggota bomba tiba, insiden letupan sudah tidak berlaku lagi dan berdasarkan panggilan yang diterima, tiada kes mangsa cedera dilaporkan.

Dalam pada itu, tinjauan di kawasan bazar mendapati khemah gerai jualan terletak berhampiran tidak terjejas.

Utusan Malaysia sedang berusaha bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan dan pengesahan pihak polis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN