KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas pelbagai barangan berjumlah RM5 juta sepanjang Operasi (Op) Khas Pagar Laut selama 15 hari sejak 17 Mac lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara barangan dirampas cuba diseludup seperti minyak masak, rokok tidak bercukai, hasil tangkapan nelayan asing dan sebagainya.
“Dalam tempoh sama, operasi tersebut turut melibatkan 63 tangkapan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali gus menunjukkan ia membuahkan hasil sejak dilancarkan,” katanya ketika meninjau operasi tersebut di perairan Klang, semalam.
Beliau menambah, Op Khas Pagar Laut kini memasuki fasa kedua, iaitu fasa pra perayaan dan mengesan penyeludupan barangan semakin rancak berlaku di kawasan perairan negara.
Justeru, katanya anggota Maritim Malaysia akan meningkatkan kesiapsiagaan bagi membanteras jenayah tersebut kerana jenayah ini boleh mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada negara.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan dua Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) milik agensi berkenaan akan disiapkan selewat-lewatnya dua tahun lagi.
Menurutnya, beliau mengemukakan tiga cadangan berhubung hala tuju OPV termasuk peruntukan tambahan sekitar RM200 juta yang sudah diluluskan secara dasar oleh Jemaah Menteri.
“Berdasarkan perkembangan semasa, kapal OPV kedua telah siap lebih 75 peratus manakala OPV ketiga adalah 50 peratus. Ia diperlukan untuk memudahkan kawalan sempadan perairan negara.
“Anggaran peruntukan tambahan sekitar RM200 juta bagi menyiapkan dua kapal itu telah mendapat persetujuan secara dasar. Jemaah Menteri turut bersetuju KDN boleh menggunakan sebarang kaedah bagi menyiapkan OPV,” ujarnya.
Katanya lagi, selain OPV, APMM juga bakal menerima empat buah helikopter baharu berjumlah RM600 juta dalam tempoh 18 bulan lagi. – UTUSAN










