Obesiti jejas produktiviti

Obesiti jejas produktiviti

SEBANYAK 41 peratus rakyat Malaysia bakal tergolong dalam kategori obesiti dalam tempoh 11 tahun lagi termasuk 5.3 peratus kanak-kanak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan masalah obesiti rakyat Malaysia pada kadar 4.7 peratus setiap tahun bakal memberi kesan ekonomi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.8 peratus atau RM94.4 juta menjelang 2035.

Ini kerana mereka berisiko menghidap penyakit ‘tiga se­rangkai’ iaitu diabetes, hipertensi dan tinggi kolesterol se­kali gus menyebabkan kerajaan perlu menanggung subsidi rawatan di hospital dan klinik kerajaan selain boleh menjejaskan produktiviti negara.

Laporan Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2023 mendedahkan, sebanyak 41 peratus rakyat Malaysia bakal tergolong dalam kategori obesiti dalam tempoh 11 tahun lagi termasuk 5.3 peratus kanak-kanak.

Malah tahun lalu, kerajaan dilapor membelanjakan seba­nyak RM9.65 bilion merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat obesiti.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof.Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, separuh rak­yat Malaysia ke klinik dan hospital kerajaan kerana caj serendah RM1 di samping kebanyakan kos rawatan dan ubat-ubatan dibiayai kerajaan khususnya membabitkan kakitangan serta pesara.

Katanya, ia termasuk penghidap obesiti yang perlu mendapatkan rawatan berkala di fasiliti kerajaan seperti rawatan penyakit buah pinggang atau hemodialisis yang menelan caj antara RM25 hingga RM190.

“Bagi penjawat awam dan pesara, sudah tentulah kos ini dibiayai oleh kerajaan. Perkara sama juga melibatkan golongan tidak berkemampuan. Untuk pekerja swasta yang layak mendapat skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga menerima manfaat sama.

“Hakikatnya ia bukan percuma, tanpa disedari ia sebenarnya ditampung kerajaan sedangkan wang itu boleh digunakan untuk keperluan dan keutamaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan melaporkan, prevalensi berat badan berlebihan dan obesiti melibatkan 50 peratus orang dewasa serta 30 peratus pada kanak-kanak dalam Malaysia diramalkan meningkat setiap tahun.

Malah sebanyak 50 peratus daripada penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Amalan gaya hidup tidak sihat seperti makan berlebihan dan merokok menjadikan kadar obesiti dalam kalangan dewasa Malaysia adalah kedua yang tertinggi di Asia.

AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF

Menurut Ahmed Razman, pertambahan pesakit obesiti bukan sahaja menjejaskan produktiviti hampir 15 juta tenaga buruh apabila rakyat tidak boleh bekerja sekali gus menyebabkan pendapatan isi rumah berkurangan.

“Jadi, obesiti menyebabkan kesan berantai kepada pertumbuhan negara. Bukan sahaja kepada KDNK, maka bakat-bakat tenaga buruh apabila kepakaran mereka tidak boleh dimanfaat sekiranya sudah terlantar sakit,” katanya.

Justeru itu, beliau mahu kerajaan bukan sahaja meneruskan cukai gula tetapi meningkatkannya bagi mengekang pengambilan makanan dan minuman manis yang merupakan faktor utama obesiti dalam kalangan rakyat.

“Selain kena ubah corak dan gaya hidup termasuk daripada segi kawalan makanan dan mengamalkan aktiviti sihat seperti bersenam dan beriadah,” katanya.

Bagi Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula, negara terus berdepan kos kesihatan yang tinggi akibat penyakit tidak berjangkit berpunca daripada obesiti dengan setiap kemasukan pesakit ke wad dan ubat-ubatan.

“Kebanyakan pesakit pergi mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan kerana kos rendah dan sebahagiannya ditanggung kerajaan. Lagi banyak pesakit pergi hospital, maka lagi banyak perbelanjaan ditanggung kerajaan,” katanya.

Lebih mengejutkan, Dr. Sharifa Ezat berkata, fenomena obesiti kini merangkumi kanak-kanak sekali gus menjadi punca utama peningkatan masalah itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Obesiti semakin meningkat dan ini sejajar dengan estimasi global juga dan bukan sahaja Malaysia. Unjuran negara 2019 menunjukkan obesiti meningkat dari 15.1 peratus kepada 2011, 17.7 peratus pada 2015 dan 19.9 peratus pada 2019,” katanya.

Justeru katanya, antara usaha menangani masalah tersebut adalah meningkatkan cukai gula, pendidikan dalam menyediakan makanan sihat dan rendah kalori dan mengurangkan makanan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN