Najib tidak dedah pertemuan dengan Raja Arab Saudi – Saksi

Najib tidak dedah pertemuan dengan Raja Arab Saudi – Saksi

NUR Aida Arifin saksi pendakwaan ke-49 dalam kes dana 1MDB membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menyentuh me­ngenai pertemuannya dengan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi yang kemudiannya membawa kepada derma Arab berjumlah RM2.6 bilion.

Sebaliknya, dakwaan berhu­bung pertemuan dengan Raja Abdullah dan beberapa menteri Kabinet ketika itu hanya timbul sewaktu peringkat bela diri dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

“Tidak ada isu (berhubung perkara ini) kerana kenyataan kepada SPRM juga tidak menyebut mengenainya dan isu hanya timbul ketika perbicaraan SRC,” ujar saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nur Aida Arifin.

Selain itu, saksi itu berkata, tiada arahan daripada pihak pendakwaan untuk mendapatkan kenyataan daripada menteri berkenaan.

Nur Aida berkata demikian ketika dirujuk peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada rakaman kenyataan yang diambil daripada Najib pada 2018 di mana bekas perdana menteri itu memberitahu dia percaya bahawa wang yang dimasukkan dalam akaun banknya sebagai derma daripada kerabat Saudi pada 2013.

Nur Aida berkata, Najib ha­nya memberitahu SPRM baha­wa terdapat pertemuan bagi mem­buktikan ia adalah derma namun tiada butiran lanjut me­ngenainya.

Pertemuan itu didakwa turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Profesor Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf.

Selain itu, Nur Aida memaklumkan, SPRM ada membuat permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat berhubung surat derma Arab tersebut.

Bagaimanapun, mereka tidak mendapat sebarang maklum balas mahupun kerjasama daripada negara terbabit.

Sehubungan itu, Nur Aida memaklumkan terdapat beberapa pegawai kanan SPRM telah ke Arab Saudi untuk bertemu dengan dua putera Raja Arab yang memberikan keterangan melalui peguam mereka.

“Saya tidak bersetuju bahawa SPRM berpuas hati atau tidak dengan maklumat tersebut. Pertama, keterangan yang diambil bukan daripada Putera AlSaud sendiri dan tiada bukti bertulis yang menunjukkan salinan asal surat tersebut serta bukti yang menunjukkan surat-surat (derma) itu sememangnya daripadanya (Putera Al Saud),” ujar Nur Aida.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Collin Lawrence Se­querah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN