SIK: Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dikatakan banyak memberi petanda sebelum dia terlibat dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, kelmarin.
Paling ketara ujar kakak arwah, Sarjan Maizatul Akmal, 41, adiknya itu menyatakan dia akan menjadi anak bongsu selepas ini yang diucapnya ketika mereka empat beradik bertemu pada 1 Syawal lalu.
“Semasa arwah balik raya, dia memang bagi banyak petanda kepada kami. Salah satunya ketika salam dengan saya sebelum balik, dia kata lepas ini kak akan jadi bongsu. Saya tidak sangka apa yang arwah adik sebut benar-benar terjadi.
“Selepas itu, saya kata kenapa cakap macam itu dan dia hanya gelak. Masa itu tak rasa apa-apa sebab arwah memang suka bergurau, namun selepas kejadian baru saya sedar inilah jawapan kepada apa yang arwah sebut tempoh hari,” katanya yang merupakan anak ketiga.
Maizatul Akmal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, Pahang berkata, arwah juga sempat menghubunginya untuk memaklumkan dia terlibat dalam penerbangan pada hari kejadian.
“Dia kata adik nak terbang dah, saya jawab hati-hati, kak tunggu adik. Saya ada WhatsApp dia juga dan pada pukul 9.13 pagi dia buat emoji gelak kepada saya. Itu yang terakhir sebelum saya dimaklumkan tentang kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, kehilangan arwah memberi kesan mendalam kepada dirinya dan keluarga kerana mereka baru sahaja kehilangan ibu bapa pada tahun lalu.
“Saya bangga dengan arwah kerana ramai kawan, pegawai dan panglima (TLDM) beritahu arwah adalah yang terbaik, namun perasaan kehilangan itu sangat berat buat saya,” katanya.
Sebelum ini, kakak sulung arwah, Noryani, 50, berkata, Muhammad Faisol turut mengajak mereka tiga beradik mengambil gambar kenangan terlebih dahulu walaupun Maizatul Akmal belum tiba ke kampung.
“Arwah ada sebut untuk ambil gambar kami bertiga dulu kerana dia kata takut seorang hilang, maka kakak (Maizatul Akmal) balik nanti akan ganti,” katanya.
Malam tadi, jenazah Muhammad Faisol selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtahdin di Sik Dalam, di sini pada pukul 10.10 malam.
Anak sulung arwah, Nur Sya Indah Aulia Mohamad Faisol, 10, yang mengiringi jenazah bapanya ke liang lahad tidak dapat menahan sebak sehingga sesekali menangis teresak-esak.
Proses pengebumian dilakukan mengikut istiadat ketenteraan yang turut dihadiri Panglima Wilayah Laut 3 TLDM, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa serta ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk kampung.
Tanah perkuburan tersebut turut menempatkan pusara ibu bapa arwah iaitu Allahyarham Tamadun Othman dan Allahyarhaman Fatimah Abdullah yang meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.










