PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kesemua mangsa yang terkorban dalam nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan helikopter FENNEC TLDM yang terhempas adalah perwira negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang.
“Saya ingin zahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua perwira negara yang terlibat di dalam nahas ini. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid pada masa sama menzahirkan dukacita di atas insiden tersebut yang pastinya bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa, tetapi juga turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.
“Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.
“TLDM juga telah menyatakan bahawa satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Beliau turut mengharapkan agar orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga serta dapat mengganggu proses penyiasatan.
Terdahulu, TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC miliknya terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian.- UTUSAN










