SIK: Jenazah Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi semalam selamat dikebumikan sebentar tadi.
Jenazah Muhammad Faisol selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtahdin di Sik Dalam, di sini pada pukul 10.10 malam.
Anak sulung arwah, Nur Sya Indah Aulia Mohamad Faisol, 10, yang mengiringi jenazah bapanya ke liang lahad tidak dapat menahan sebak sehingga sesekali menangis teresak-esak.

Proses pengebumian dilakukan mengikut istiadat ketenteraan yang turut dihadiri Panglima Wilayah Laut 3 TLDM, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa serta ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk kampung.
Tanah perkuburan tersebut turut menempatkan pusara ibu bapa arwah iaitu Allahyarham Tamadun Othman dan Allahyarhaman Fatimah Abdullah yang meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.
Terdahulu, jenazah Muhammad Faisol dibawa ke rumah kakak sulungnya, Noryani, 50, di Kampung Tanjung sebelum terus ke Masjid Al-Muhtahdin untuk disolatkan sekali lagi. -UTUSAN










