SEPANG: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) tidak menyangka hasrat untuk menunaikan umrah selama ini akhirnya terlaksana, dan lebih istimewa ibadah itu dapat disempurnakan secara beramai-ramai bersama rakan-rakan senasib dengannya.
Nor Hidayu Mohd Yusoff, 36, dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berkata, dia amat bersyukur apabila kesemua urusan ibadah umrah sepanjang 12 hari 10 malam berada di tanah suci Mekah dan Madinah dipermudahkan dengan segala proses dibantu oleh mutawif serta 10 sukarelawan yang bertindak sebagai pembimbing.
Menurut guru Al-Quran itu, walaupun dia dan rakan-rakan lain tidak dapat melihat Kaabah seperti individu normal yang lain, namun suasana yang dirasai ketika pertama kali menjejakkan kaki ke tempat suci itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Mutawif beritahu bila kami sudah sampai di hadapan Kaabah dan semua orang terus menangis walaupun kita tak nampak Kaabah dengan mata sendiri.
“Tapi apa yang kita dapat rasakan adalah satu keadaan yang begitu dingin dan tempat itu sangat sejuk, sebab itu lah kami menangis walaupun tidak dapat melihat,” katanya ketika ditemui pemberita sempena kepulangan jemaah umrah Pertis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi dua minit 11 saat memaparkan sekumpulan jemaah OKU penglihatan sedang menunaikan ibadah umrah.
Video yang dimuat naik menerusi laman sosial milik syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel and Tour Sdn Bhd (Andalusia) itu bukan sahaja mengundang sebak, malah turut menarik perhatian golongan bukan Islam menerusi komen-komen yang ditinggalkan di akaun tersebut.
Mengulas lanjut, Nor Hidayu berkata, dia sudah lama menanam impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, namun masih belum berkemampuan berikutan kekangan kewangan.
“Bila dengar rakan-rakan cerita suasana di Mekah ketika menunaikan umrah, saya minta mereka untuk doakan saya sekali, mungkin ini juga berkat doa mereka saya dapat menunaikan umrah pada tahun ini.
“Saya juga nak ucap terima kasih kepada pihak Andalusia yang menaja kami semua untuk pergi menunaikan umrah, saya doakan mudah-mudahan pihak Andalusia dan kesemua para penyumbang secara langsung dan tidak langsung dimurahkan rezeki mereka,” katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pertis, Jasmadin Budin merangkap penyelaras program berkata, ini merupakan projek pertama Pertis untuk membawa jemaah OKU penglihatan menunaikan umrah dengan menerima penajaan dari Andalusia termasuk sumbangan daripada pihak-pihak lain.
Jasmadin yang juga OKU penglihatan dan bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sinar Bintang, Segambut, turut melahirkan rasa syukur apabila kesemua jemaah berjaya menyelesaikan ibadah umrah masing-masing dan selamat tiba di tanah air hari ini.
“Nak bawa OKU penglihatan ini merupakan satu cabaran apatah lagi kita dalam satu kumpulan yang besar sehingga 30 orang jemaah.
“Antara cabarannya adalah menguruskan perjalanan rombongan seperti ketika memasuki Masjid Nabawi dan Raudah, ketika itu perlu satu susunan yang betul supaya mereka ini tidak berpecah.
“Apa yang paling mencabar ketika kita mulakan tawaf di bahagian bawah, itu lagi memerlukan koordinasi yang baik di antara semua orang supaya kita tidak terpisah atau sesat ketika berhimpit-himpit dengan jemaah lain yang ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu, mutawif Andalusia, Mohd Firdaus Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock berkata, perjalanan umrah kali ini dianggap agak berbeza dan lebih istimewa dengan penyertaan daripada golongan OKU penglihatan.
“Kita tak sangka perkara ini menjadi tular kerana bagi saya ini adalah amanah yang perlu saya galas dalam menjalankan tugas, seperti mana saya bawa jemaah-jemaah lain sebelum ini, sama juga ketika saya bawa mereka dari Pertis ini, layanan saya pun sama, tiada yang berbeza.
“Cuma mereka lah yang membuat perjalanan umrah ini menjadi istimewa antaranya diberikan peluang untuk berada di saf paling hadapan di dalam Raudah dengan tempoh yang lebih lama berbanding jemaah lain serta layanan ala-ala VIP ketika mereka ingin membeli makanan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai mutawif.
Mohd Firdaus turut menjelaskan bahawa Andalusia tidak membuat sebarang permohonan kepada pihak berkuasa di sana untuk mendapatkan layanan istimewa, namun semuanya terjadi secara spontan apabila mereka melihat jemaah OKU penglihatan terbabit berjalan berpimpin tangan dalam satu kumpulan yang besar. – UTUSAN










