Memori pahit di Hospital Al-Shifa, wanita dirogol

Memori pahit di Hospital Al-Shifa, wanita dirogol, ahli keluarga dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Bukan sahaja kesan kerosakan yang dapat dilihat di struktur bangunan Hospital Al- Shifa, malah, pengunduran tentera Israel dari kompleks kesihatan itu turut meninggalkan memori pahit buat rakyat Palestin. 

Berkongsi kisah duka, seorang wanita Palestin, Jamila Al-Hissi yang terperangkap di dalam hospital itu mendedahkan pengalaman menakutkan di depan matanya sendiri. 

Kongsinya, tentera Israel tergamak merogol wanita, membakar dan membunuh seluruh ahli keluarga termasuk membakar bangunan yang menempatkan pelarian Palestin. 

“Saya merayu bantuan Palang Merah untuk membekalkan air kepada kanak-kanak dan pesakit disebabkan kami terperangkap akibat serangan bertali-arus oleh tentera Israel. 

“Namun, badan sukarelawan itu tidak dibenarkan sama sekali memasuki Gaza menyebabkan bekala air bersih terputus,” kongsinya lapor Quds News Network. 

Lebih menyayat hati, katanya, golongan kanak-kanak tidak mempunyai sumber air dan makanan selama enam hari di wilayah terkepung itu. 

Malah, video tular menunjukkan rakyat Palestin dalam keadaan separuh berbogel selepas dilepaskan oleh tentera Israel dari kawasan hospital berkenaan. Mereka dipaksa bergerak ke selatan Gaza.

Video yang berjaya dirakamkan oleh seorang rakyat Palestin dari tingkap rumahnya menunjukkan ada lelaki yang berjalan dalam keadaan separuh bogel, sambil menolak kerusi roda. 

 JADI PERISAI MANUSIA

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendedahkan sudah mendokumentasikan bukti konsisten yang menjadikan rakyat Palestin sebagai perisai manusia. 

Situasi itu sekaligus meletakkan mereka dalam keadaan berbahaya ketika operasi ketenteraan di sekitar kompleks perubatan itu. 

Mereka digunakan untuk mengukuhkan operasi ketenteraan di dalam hospital dan membentuk perisai di belakang pasukan dan kenderaan tentera. 

Aktivis Hak Asasi Manusia, Ramy Abdo memberitahu tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman yang mengerikan di Hospital Al-Shifa. 

“Tentera Israel memaksa pesakit dan orang awam menanggalkan pakaian dan memaksa mereka berpindah. 

“Lelaki, wanita dan kanak-kanak dibunuh dan ini jelas merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang dan norma antarabangsa,” katanya. 

Pencerobohan Israel secara berterusan di Semenanjung Gaza mengakibatkan 32,142 kematian dan majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak. 

Jumlah kecederaan juga dilaporkan mencecah 74,412 orang.  

PETUGAS PERUBATAN MAUT 

Terkini, lima petugas perubatan warga Australia, Poland, United Kingdom dan Palestin terbunuh akibat serangan udara tentera Israel ketika mengagihkan bantuan makanan di Deir el-Balah, tengah Gaza. 

Susulan itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menuntut ‘tanggungjawab sepenuhnya’ berhubung kematian petugas perubatan warga Australia, Zomi Frankcom di Gaza.

Tegasnya, kematian itu adalah ‘tidak boleh diterima sepenuhnya’ dan ‘tidak munasabah’. 

“Ini adalah tragedi yang tidak sepatutnya berlaku. Adalah tidak munasabah apabila seseorang pergi memberikan bantuan kemanusiaan akan kehilangan nyawa. 

“Ada empat petugas bantuan serta pemandu Palestin di dalam kenderaan itu,” katanya semasa sidang akhbar di Brisbane. 

 Kumpulan bantuan dari Amerika Syarikat, World Central Kitchen turut memaklumkan beberapa petugasnya terbunuh semasa serangan udara.    

Doctors Without Borders mengumumkan Hospital al-Shifa hancur sehari selepas tentera Israel berundur dari kompleks berkenaan selepas serbuan selama dua minggu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN