Masa untuk UMNO, BN balas jasa DAP

Masa untuk UMNO, BN balas jasa DAP

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor.- UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Barisan Nasional (BN) menyatakan komitmennya untuk membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)Kuala Kubu Baharu bagi membalas jasanya dalam siri pilihan raya terdahulu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN kekal berpegang kepada prinsipnya dan menghormati formula untuk memberikan kerusi DUN yang sebelum ini disandang oleh DAP kembali kepada parti komponen PH itu.

Menurut beliau, jentera UMNO dan MIC sudah pun digerakkan untuk membantu calon PH yang secara dasarnya turut mewakili kerajaan perpaduan untuk memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

“Beberapa PRK sebelum ini, kami turut didukung kepimpinan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR ketika di Tioman, Pelangai dan Kemaman. Maka ini komitmen daripada UMNO dan BN.

“Saya juga tahu DAP adalah sebuah parti yang sangat komited dalam kerajaan perpaduan dan sudah tiba masanya (UMNO) membalas budi mereka (DAP),” katanya selepas mengiringi calon kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan antara empat calon iaitu selain daripada Sock Tai adalah Khairul Azhari Saut yang bertanding bagi pihak Perikatan Nasional (PN), Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau bahawa Sock Tao mampu meraih kemenangan dan mengekalkan kerusi tersebut untuk terus berada di bawah kerajaan perpaduan berdasarkan keupayaan serta potensi yang ditonjolkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau masih berharap agar MCA dapat membantu jentera kerajaan perpaduan untuk berkempen dalam PRK kali ini.

“Apabila kedinginan akan meliputi perasaan, saya fikir (pihak) di sana (MCA) akan berubah.

“Kita tidak menjangkakan bilakah waktu yang sesuai tapi saya fikir UMNO dan MCA telah bersahabat terlalu sejak 1955 dalam BN. Saya fikir ia dapat disantuni dengan baik,” jelasnya.  

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 20 Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 11 Mei hari pengundian membabitkan 40,226 pemilih berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN