Hanya 49 peratus pekerja Malaysia puas hati dengan gaji semasa - Utusan Malaysia

Hanya 49 peratus pekerja Malaysia puas hati dengan gaji semasa

JOBSTREET by SEEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 49 peratus pekerja di Malaysia berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima mereka ketika ini, meskipun sebahagian besar daripada mereka mengakui kadar bayaran tersebut adalah adil bagi peranan yang dipikul.

Dapatan terbaharu daripada laporan Salary Pulse 2026 oleh Jobstreet by Seek mendedahkan, sebanyak 81 peratus pekerja menganggap gaji mereka adalah adil, namun wujud jurang ketara antara keadilan nilai pasaran dengan apa yang dirasai oleh pekerja dari segi penghargaan sebenar di tempat kerja.

Kajian yang melibatkan 1,010 pekerja tempatan berusia antara 18 hingga 64 tahun itu menunjukkan bahawa bayaran mengikut tanda aras pasaran semata-mata kini tidak lagi mencukupi untuk membuatkan pekerja merasa dihargai.

Malah, dalam kalangan pekerja yang menganggap gaji mereka “berpatutan”, kurang daripada separuh (41 peratus) menyatakan mereka benar-benar gembira dengan imbuhan berkenaan kerana mula menilai gaji bersama faktor lain seperti beban kerja, pengiktirafan dan peluang kemajuan kerjaya.

Pengarah Urusan Jobstreet by Seek Malaysia, Nicholas Lam berkata, kajian ini membuktikan pekerja kini membuat perbezaan yang besar antara dibayar secara adil dengan berasa dihargai secara tulen oleh organisasi.

“Gaji yang kompetitif akan sentiasa penting, tetapi ia bukan lagi satu-satunya ukuran yang digunakan oleh pekerja. Mereka mahu gaji yang diterima mencerminkan sumbangan individu, peluang pertumbuhan serta kemajuan kerjaya.

“Bagi majikan, imbuhan kini merangkumi aspek komunikasi, pengiktirafan dan kepercayaan, bukan sekadar angka semata-mata,” katanya dalam laporan tersebut.

Laporan itu turut mendedahkan implikasi penting terhadap pengekalan bakat, yang mana pekerja yang berpuas hati dengan gaji mempunyai kebarangkalian tiga kali lebih tinggi untuk bermotivasi di tempat kerja, manakala mereka yang tidak berpuas hati adalah 2.5 kali lebih cenderung untuk mencari pekerjaan baharu.

“Bagaimanapun, pekerja di Malaysia menegaskan mereka tidak akan menggadaikan nilai diri demi gaji yang lebih tinggi. 

“Walaupun 19 peratus sanggup menerima jawatan lebih rendah demi kenaikan gaji 10 peratus, hanya tiga peratus sahaja yang sanggup bekerja di syarikat yang mempunyai budaya kerja toksik.

“Dari segi kenaikan gaji, sebanyak 56 peratus pekerja menerima kenaikan dalam tempoh setahun lalu dengan sebahagian besarnya menerima kadar sederhana sehingga lima peratus,” katanya. 

Mengulas lanjut, kajian itu mendapati pekerja lebih menghargai kenaikan berasaskan prestasi (65 peratus berpuas hati) berbanding pelarasan menyeluruh satu syarikat (52 peratus berpuas hati), sekali gus menunjukkan kepentingan pengiktirafan sumbangan individu.

“Selain itu, tahap keyakinan untuk membincangkan isu gaji masih rendah apabila hanya 40 peratus pekerja berasa selesa untuk meminta kenaikan gaji. 

“Bagaimanapun, 78 peratus daripada mereka yang berani meminta kenaikan gaji dilaporkan berjaya memperolehnya,” katanya. 

Sehubungan itu, Jobstreet by Seek mengesyorkan majikan untuk melihat melangkaui tanda aras pasaran, mengekalkan ketelusan dalam keputusan pembayaran gaji, mewujudkan ruang perbincangan berterusan serta memberikan pengiktirafan sumbangan secara konsisten bagi meningkatkan kepuasan pekerja. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN