Plat MADANI: Pengarah JPJ diperintah bayar RM40,000

Plat MADANI: Pengarah JPJ diperintah bayar RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melanggar hak cipta penghasilan plat MADANI.

Menurut kenyataan oleh peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili ahli perniagaan, Hasan Azhari Hashim yang juga Pengarah Program Ilham Madani Sdn. Bhd, keputusan terbabit dibuat oleh Hakim Datuk M. Edwin Paramjothy pada 14 Julai lalu.

Rajesh memaklumkan, pada prosiding tersebut, hakim turut memerintahkan Ketua Pengarah JPJ selaku defendan untuk membayar jumlah global ganti rugi statutori dan tambahan sebanyak RM40,000 dan kos sebanyak RM25,000.

Tambahnya, prosiding turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar.

“Penghakiman ini menunjukkan hak harta intelek tidak berkurangan semata-mata kerana pihak yang dikatakan melakukan pelanggaran ialah sebuah pihak berkuasa awam.

“Hak cipta adalah milik penciptanya dan undang-undang terpakai secara sama rata kepada setiap orang dan setiap institusi termasuk Kerajaan. Pihak berkuasa awam diharapkan menegakkan undang-undang, dan ini semestinya merangkumi pematuhan terhadap perundangan hak cipta Malaysia.

“Anak guam kami tidak pernah berhasrat menghalang kerajaan daripada memperkenalkan inisiatif yang memanfaatkan orang ramai. Apa yang dituntut beliau ialah pengiktirafan bahawa karya kreatif wajar mendapat perlindungan undang-undang dan tidak boleh diambil tanpa kebenaran. Mahkamah Tinggi kini telah menegakkan prinsip tersebut,” ujar Rajesh dalam kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, defendan mempunyai tempoh satu bulan dari tarikh penghakiman untuk memfailkan rayuan sekiranya berhasrat berbuat demikian.

Pada 5 November 2024, media melaporan Hasan Azhari telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan pelanggaran harta intelek itu.

Menerusi surat tuntutan berkenaan, beliau menuntut bayaran ganti rugi bersamaan separuh daripada hasil penjualan nombor plat tersebut, dalam tempoh tujuh hari selepas surat berkenaan diterima.

Berdasarkan dokumen berkenaan, Hasan Azhari mendakwa menjadi pemilik sah karya hak cipta terbabit, mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.

Sementara itu, pada 25 Oktober 2024, Ketua Pengarah JPJ ketika itu, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober 2024, berjaya merekodkan kutipan RM2.62 juta.

Beliau berkata, MADANI 6 merekodkan harga bidaan tertinggi iaitu RM68,888, diikuti MADANI 5 (RM58,001), MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110).

Menurutnya, bidaan itu menarik penyertaan 5,632 pembida dengan 3,263 daripadanya berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN