PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) bekerjasama dengan Cagamas Berhad (Cagamas) bagi melaksanakan tiga urus niaga penanda aras utama dalam pasaran modal Islam Malaysia.
Langkah berkenaan adalah bagi menyokong visi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan penggunaan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) sebagai penanda aras Kadar Bebas Risiko Islam.
Transaksi yang berjaya dilaksanakan itu merangkumi Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk) pertama di Malaysia berasaskan MYOR-i bernilai RM300 juta untuk tempoh setahun.
Selain itu, ia turut melibatkan transaksi Pertukaran Kadar Keuntungan Islam (IPRS) berasaskan MYOR-i pertama bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun dengan had atas dan bawah (caps and floors), serta Transaksi Pembelian Aset Islam berasaskan MYOR-i bernilai RM250 juta di bawah Program Pembelian dengan Hak Rekursi Cagamas (Program PWR).
Transaksi mercu tanda ini membina infrastruktur pasaran penting untuk menyokong pembangunan ekosistem MYOR-i yang mantap, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
Sebagai pengurus utama dan rakan pelaksana, CIMB memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menstruktur dan melaksanakan transaksi berkenaan, malah membangunkan infrastruktur pasaran Islam yang diperlukan termasuk keluk pertukaran penanda aras, dokumentasi transaksi dan keupayaan pengurusan risiko inovatif.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, terbitan penanda aras MYOR-i sulung di Malaysia oleh Cagamas ini menetapkan preseden penting serta menyediakan rangka kerja bagi inovasi struktur Sukuk pada masa hadapan.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan kami dalam menyokong pembangunan pasaran dan menyampaikan penyelesaian inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang, selaras dengan strategi Forward30 kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim berkata, selaku penerbit instrumen hutang kedua terbesar di negara ini selepas kerajaan Malaysia, pihaknya komited untuk menggalakkan kecairan dan meningkatkan ketersediaan pembiayaan dalam sektor perumahan dan kewangan Malaysia.
“Kejayaan pelaksanaan transaksi ini menunjukkan komitmen bersama industri untuk memperkukuh ekosistem pasaran kewangan Islam serta memperluas rangkaian penyelesaian pembiayaan dan pengurusan risiko patuh Syariah yang tersedia untuk peserta pasaran,” katanya.
Melalui kerjasama erat dengan Cagamas, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri, CIMB komited untuk terus memacu inovasi dalam pasaran kewangan Islam Malaysia, memperdalam kecairan dan ketelusan pasaran, serta membolehkan penggunaan produk kadar bebas risiko Islam yang lebih luas bagi membina daya tahan sektor kewangan negara.










